Dua beradik jadi yatim piatu
KAPIT: Dua adik beradik menjadi yatim piatu sekelip mata, selepas ibu bapa mereka maut apabila kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki terbabas jatuh ke dalam gaung di Kilometer 1, Jalan Jiwa Murni, Nanga Mujong dekat sini.
Dalam kejadian yang berlaku pada jam 4 petang Selasa lalu, mangsa yang meninggal ialah Guntur Dampa, 43, dan isterinya Lucy Bekeh, 38.
Manakala kedua-dua anak lelaki mangsa Eldickson Linggong,16, hanya cedera ringgan manakala Rizky Renggan, 8, tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kenderaan itu dipercayai sedang dalam perjalanan pulang ke rumah panjang, Rh Badin Mujong dari pekan Kapit apabila berlaku kemalangan itu.
“Nahas itu dipercayai berlaku apabila kenderaan pacuan empat roda yang dipandu Lucy hilang kawalan lalu terbabas ke sebelah kanan jalan dan terjatuh ke dalam gaung,” katanya dalam satu kenyataan
Menurutnya, kedua-dua suami isteri yang duduk di bahagian depan kereta telah tercampak keluar dan disahkan meninggal dunia oleh pihak perubatan ambulans Hospital Kapit di tempat kejadian.