SK Paun Temaga Dapat Blok Kelas & Rumah Guru Baharu
SEMATAN – “Terima kasih Pan Borneo. Terima kasih
Lebuhraya Borneo Utara(LBU). Terima kasih Samling”, kata pelajar Sekolah
Kebangsaan (SK) Paun Temaga, Sematan sempena penyerahan blok sekolah dan rumah
guru baharu dekat sini hari ini.
Kemudahan ini dibina oleh kontraktor Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) melibatkan 12 sekolah usang seluruh Sarawak, salah satunya SK Paun Temaga.
Mulai minggu depan, murid-murid sekolah itu akan
berpindah ke blok baru dan tidak lagi belajar dalam bilik kelas yang lama dan
sesak.
Guru Besar SK Paun Temaga, Albert Bujan berkata, sebelum
ini mereka menghadapi masalah kekurangan bilik kelas.
“Salah satu kelas dibahagikan kepada dua bilik bagi
membolehkan dua kelas pada satu masa. Kita berterima kasih kerana sekarang
mempunyai kemudahan kelas yang selesa untuk murid-murid,” katanya.
Selain bilik kelas, guru-guru sekolah turut berpuas hati
dengan rumah guru yang luas.
Bagi guru sekolah, Sopheena Nyowep, dia teruja untuk berpindah
ke kuarters memandangkan sebelum ini menyewa di Lundu.
“Rumah baru ini memudahkan tugas saya untuk mengajar dan
sudah tentu selesa,” katanya yang mengajar bahasa Inggeris di sekolah itu.
Sementara itu majlis penyerahan yang sederhana namun
penuh bermakna itu dihadiri pegawai rasmi dari Jabatan Pendidikan Negeri
Sarawak, Samling Resources dan LBU.
Untuk SK Paun Temaga, Samling Resources membina satu blok
sekolah yang terdiri daripada 4 bilik darjah dan satu rumah banglo sebagai
sumbangannya kepada masyarakat setempat.
Dibina pada anggaran RM1 juta, pembinaan mengambil masa
sembilan bulan.
Sekolah SK Paun Temaga dibina pada tahun 1965. Hari ini,
sebahagian besar kemudahan sekolah sudah usang namun kakitangan sekolah dan ibu
bapa melakukan yang terbaik untuk mengindahkan kawasan sekolah.
Sekolah itu kini mempunyai 88 pelajar sekolah rendah dan
tadika dari kawasan Sematan dan sekitarnya. Sekolah itu termasuk dalam program
sekolah kluster yang terpilih untuk sekolah-sekolah luar bandar.
Di bawah program sekolah CSR “Usaha Murni Pan Borneo
Highway Sarawak”, tiga sekolah yang sudah usang telah menerima kemudahan baru
iaitu SK Kampung Buda (Betong) oleh Lebuhraya Borneo Utara, SK Puak (Lundu) dan
SK Paun Temaga (Sematan) kedua-duanya oleh Samling Resources.
Kemudahan di tiga sekolah luar bandar yang dinaiktaraf-
SK Sungai Buloh (Selangau) oleh Musyati – Mudajaya JV, di SK Engkabang (Roban)
oleh PPES Works-Bina Puri JV dan SK Kampung Bulau (Subis, Miri) oleh Konsortium
KPE .