17,952 batang rokok seludup dirampas
SERIAN: Taktik simpan bir dan rokok seludup melalui promosi‘Stok baru sampai, harga terendah di pasaran’ untuk menarik pelanggan tumpas.
Premis perniagaan yang digunakan sebagai tempat penyimpanan barangan tersebut diserbu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuching pada Isnin lalu.
Bir dan rokok tersebut dipercayai untuk edaran dan pasaran tempatan sempena perayaan Hari Krismas.
Hasil pemeriksaan rapi ke atas premis tersebut, menjumpai sebanyak 5,201.58 liter bir dan 17,952 batang rokok pelbagai jenama yang disyaki belum lulus Kastam kerana tidak bersetem cukai.
Pengarah Kastam Sarawak, Dato Sharuifah Halimah Tuanku Taha berkata, serbuan terwebut kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Kastam Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching.
Menurutnya, kesemua barangan tersebut disita dan seorang pekerja di premis tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan. Nilai rampasan bir dan rokok tersebut adalah berjumlah RM 95,067.72 dan jumlah keseluruhan cukai yang terlibat adalah sebanyak RM162,982.05.
“Kesemua barangan tersebut telah disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Kuching untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.
”Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 di mana jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan penalti kerana membuat akuan tidak betul dan kerana memalsukan dokumen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan atau kawalan tanpa permit import dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. - GAGO DAILY