Magro Oliva dalam radar Sarawak United
Sarawak United sudah dikatakan mula ‘berbelanja besar’ untuk mendapatkan khidmat jurulatih luar negara.
Sebelum ini dikhabarkan Sarawak United yang dihasilkan menerusi gabungan Selangor United memburu sekurang-kurangnya tujuh calon ketua jurulatih.
Presiden Persatuan Bolasepak sarawak (FAS) dalam laporan sebuah akhbar tempatan mengakui, pihaknya mengenal pasti sekurang-kurangnya tujuh calon ketua jurulatih iaitu tiga daripadanya calon tempatan.
Jelasnya, lima calon jurulatih tersebut adalah dari luar negara, dengan masing-masing dari Sepanyol, Belgium, Iran, Singapura dan tiga jurulatih tempatan dari negara ini.
“Kami akan memanggil kesemua calon ini untuk proses temu duga yang akan dilangsungkan dalam masa terdekat. Kami akan memilih yang terbaik dan kali ini benar-benar bersedia untuk beraksi dalam Liga Perdana,” katanya.
Bekas jurulatih akademi Valencia CF, Juan Carlos Magro Oliva antara yang disebut mengemudi Sarawak United.
Menurut sumber, Magro Olivia berusia 42 tahun yang berasal dari Sepanyol dikatakan antara nama tersenaraI dalam radar Sarawak United kerana memiliki sikap dedikasi.
Untuk rekod jurulatih yang membimbing pasukan dari China tersebut pernah terlibat dalam Akademi Real Madrid selama hampir setahun dan sebelum bersama Akademi Valencia CF selama sebulan.
Selain daripada itu, Magro Olivia disebut pernah dengan program pembangunan sukan bola sepak melibatkan kanak-kanak.
Sebelum ini, Datuk Posa Majais mengesahkan pengambilalih pasukan Selangor United, yang kini dijenamakan sebagai Sarawak United sekali gus mensasarkan kembali ke Liga Super.
Mengulas pengambilalihan pasukan tersebut daripada Selangor United, katanya ia berlaku secara sah dan teratur.
“Pasukan itu akan menjadi milik FAS dan bukan pasukan peribadi saya.
“Saya memikul tanggungjawab demi maruah negeri, dan kerana itu saya mengambil tindakan drastik ini,” katanya dipetik akhbar harian tempatan.
Tindakan itu juga merupakan satu sejarah kerana tidak pernah berlaku pada mana-mana pasukan dalam Liga Malaysia.
Beliau berharap, banyak pihak termasuk Kerajaan Negeri akan membantu selepas ini, terutama dari segi peruntukan kewangan.