Nassier Wahab meninggal dunia
Nassier Wahab meninggal dunia
|
Datuk Nassier Wahab, penyanyi popular era 1980-an
meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur, jam
12.45 tengah malam semalam.
Nassier yang dilahirkan pada 18 April 1962 di Kota Kuala
Muda, Kedah adalah anak ke-12 daripada 14 beradik dan cukup dikenali dengan
wajahnya yang awet muda.
Kelunakan suaranya sentiasa menjadi perbualan dan suatu
ketika dulu, beliau pernah berdiri sebaris dengan ramai penyanyi legenda lain.
Antaranya Datuk Jamal Abdillah, Razis Ismail, dan Shidee.
Nassier, 57, pernah menjalani pembedahan membuang
ketumbuhan pada rahang kiri, 1 Jun lalu.
Beliau mula mengalami masalah itu sejak lima tahun lalu
apabila mengadu sakit pada bahagian gusi.
Pembantu peribadinya, Aliff Salim mewakili Nassier
berkata, Nassier hanya akan mengambil pil penahan sakit setiap kali diserang
penyakit itu.
“Apabila makan ubat, sakit itu akan hilang. Kadang-kadang
ambil masa dua hingga tiga hari baru hilang sakitnya.
“Apabila terlalu berterusan, doktor memberitahu kaedah
ini tidak bagus kerana boleh menjejaskan kesihatannya,” katanya kepada sebuah
akhbar nasional.
Katanya, doktor menasihatkan Nassier menjalani pembedahan
tetapi dia kerap menangguhkannya.
“Selepas kali ketiga berjumpa doktor, barulah dia setuju
untuk buat pembedahan pada 1 Jun lalu,” katanya.
Menurutnya, umum memang nampak Nassier sihat, tetapi
sebenarnya dia tidak mampu menahan sakit apabila masalah kesakitan akibat
ketumbuhan itu menyerang.
“Dia ditahan di wad selama 20 hari sebelum dibenarkan
keluar. Sebelum ini dia terpaksa makan menggunakan tiub membuatkan berat
badannya agak susut,” katanya.
Aliff berkata, Nassier dinasihatkan berehat secukupnya
sebelum kembali menyanyi.
“Sebelum ini Nassier memang merahsiakan kesakitannya.
“Apabila sakit itu datang, saya terpaksa menolak beberapa
tawaran persembahan dengan memberi alasan jadualnya padat,” katanya.