Pengasuh sebabkan kematian bayi terus dihimpit malang
SIBU: Pengasuh yang didakwa menyebabkan kematian seorang bayi berusia sembilan bulan pada 7 Januari tahun ini, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas satu lagi pertuduhan.
Tertuduh, Hayati Yaman, 40, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan mengikut Seksyen 31(1)(a), Akta Kanak-Kanak 2001.
Seksyen 31(1)(a) ini memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Utusan Borneo melaporkan, dia didakwa atas tuduhan mengabaikan seorang kanak-kanak yang dalam jagaannya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal di sebuah rumah di Jalan Permai pada 15 Ogos 2017.
Hakim Caroline Bee Majanil yang mendengar kes, tidak membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin dan menetapkan 20 Januari tahun depan sebagai tarikh pengurusan kes.
Sementara itu, Hayati yang tidak diwakili peguam sebelum ini turut didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di mahkamah atas tuduhan menyebabkan kematian seorang bayi dalam jagaannya.