Syed Saddiq selamat dibedah apendiks

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman


KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman baharu sahaja selesai menjalani pembedahan apendiks hari ini selepas dikatakan mengalami kesakitan sejak beberapa hari lalu.

Pejabat Menteri Belia dan Sukan hari ini mengeluarkan kenyataan mengenai keadaan menteri itu yang terus dimasukkan ke hospital setibanya dari Manila malam tadi.
Syed Saddiq sebelum ini berada Manila untuk memberi sokongan kepada kontinjen negara pada Sukan SEA ke-30 di Filipina.

Syed Saddiq yang kali pertama membawa kontinjen negara ke temasya Sukan SEA sejak dilantik sebagai menteri, bagaimanapun terpaksa berdepan hakikat kegagalan kontinjen negara memenuhi sasaran 70 pingat emas apabila sekadar menduduki tempat kelima keseluruhan dengan membawa pulang 56 emas, 57 perak dan 71 gangsa.

"Alhamdulillah pembedahan tersebut telah berjaya dan beliau kini dalam keadaan stabil.
"Kami memohon agar beliau diberikan ruang untuk berehat dalam tempoh pemulihan ini dan tiada pelawat dibenarkan buat seketika waktu," kata kenyataan itu yang tidak menyatakan berapa lama Syed Saddiq akan berehat.

Difahamkan, Syed Saddiq sudah diberikan ubat ketika berada di Manila namun terus di masukkan ke hospital pada malam tadi setibanya di Kuala Lumpur selepas tidak dapat menahan lagi kesakitan.
LihatTutupKomentar
Cancel