Tampilkan pemain yang bersedia
Tidak salah untuk mengambil ramai pemain tempatan untuk skuad utama, akan tetapi biarlah mereka benar-benar bersedia dari segala aspek apabila menyarung jersi Sarawak. Demikian kata bekas Jurulatih Ngap Sayot, Abdul Jalil Ramli.
Menurut bekas jurulatih Sarawak FA & Piala Presiden 2019 tersebut, menyenaraikan pemain tempatan yang belum bersedia adalah satu risiko besar kepada prestasi sesebuah pasukan.
Jalil berkata pemilihan yang tepat adalah hanya untuk pemain tempatan yang sudah benar-benar bersedia, sudah terdedah dengan saingan kompetitif atau latihan.
Mengimbau kegemilangan era 1988 Ngap Sayot, Ketua jurulatih Sarawak FA Awang Mahyan ketika itu membariskan semua pemain tempatan kerana mereka sudah bersedia.
Katanya, lagi ketika itu juga skuad kendalian Awang Mahyan didedahkan dengan latihan di Kuala Lumpur, Selangor dan Singapura.
"Antara pemain tempatan Sarawak yang pernah menyumbang bakti pada ketika itu ialah Mohd Ali Sapiee, Affendi Jol, Roslan Ismail, Pengiran Bala, Burhaniza Abu Bakar, Jalil Ramli, Abu Bakar Amran, Razak Ismail, Azmi Arif, Daud, Khairol Jamel, Aedi Julaihi, Herman Bulang, Roslan Mustapha, Johnny Peter, Frankie Steven, Keryer Merai, Buseman Ismail, Sulaiman Mustanir dan Dollah Salim," katanya dipetik dalam Suara Sarawak.
Beliau berkata, untuk melahirkan pemain tempatan yang berkaliber, Sarawak FA perlu mempunyai sistem dan program pembangunan yang konsisten dan baik.
Dalam pada itu bagi Awang Mahyan Awang Muhammad pula, semangat juang tinggi dan tip yang diberikan oleh Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari adalah antara ramuan penting kebangkitan pasukan Ngap Sayot 1988.
Menurutnya beliau tidak pernah jemu memberikan motivasi dan kata-kata semangat kepada para pemain kerana kelemahan Sarawak ketika itu adalah sikap rendah diri.
Daripada pasukan belasahan pada awal hingga pertengahan era 80-an, Mahyan berjaya membawa Sarawak ke separuh akhir Piala Malaysia 1988 dan suku akhir Piala Malaysia 1989. Ia adalah titik permulaan kebangkitan Sarawak yang kemudiannya disambung oleh Alan Vest, Abdul Jalil dan Robert Alberts.