Tiada Royalti? Hentikan Pam Minyak Kami
Dr Jeffrey Kitingan.
|
KOTA KINABALU: “Petronas dan syarikat minyak yang lain patut berhenti mengepam minyak di Sabah sekiranya mereka tidak mahu membayar 20 peratus royalti minyak yang diminta oleh negeri dan dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH),” kata Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STARSabah) merangkap Ahli Parlimen Keningau, Dr Jeffrey Kitingan.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata bahawa pemberian 20 peratus royalti minyak kepada Sabah tidak dapat dilaksanakan walaupun sudah yang diumumkan Julai tahun lalu kerajaan Persekutuan akan membayar 20 peratus royalti.
PM dan kerajaan PH seperti tidak dapat memberikan apa-apa melainkan alasan demi alasan. Bermacam alasan tidak akan menyelesaikan apa-apa sebaliknya mencetuskan lebih banyak ketidakpuasan, rasa tidak puas hati dan kemarahan kepada rakyat Sabah dan Sarawak.
Para pemimpin Kuala Lumpur suka memberikan janji dan harapan palsu kepada rakyat Sabah dan Sarawak demi meraih sokongan mereka. Sebaik sahaja mereka mendapat apa yang mereka mahu, mereka akan melupakan anda. Inilah kisah Sabah di Malaysia.
Kami di Sabah dan Sarawak sentiasa rugi. Kami terlalu naif, terlalu bagus dan terlalu bertolak ansur.
Para pemimpin Sabah dan mereka yang berada dalam kerajaan membenarkan diri mereka dilacurkan, disalahgunakan dan dieksploitasi, namun setelah itu, mereka akan tunduk, mencium tangan mereka dan memberi salam kepada mereka.
“Satu perkara menghairankan kerajaan Sabah tidak mampu untuk menegakkan hak Sabah dan tidak dapat memperoleh apa yang terbaik untuk Sabah,” tambah Dr Jeffrey.
“Kerajaan Persekutuan yang berdasarkan sentrik Melayu tidak sepatutnya membuat janji yang tidak dapat ditepati”, kata Dr Jeffrey, ‘tetapi pemimpin-pemimpin Kuala Lumpur banyak menabur janji dan jaminan walaupun semasa pembentukan Malaysia, pun mereka tidak tunaikan malah selepas 55 tahun!”
Sudah tiba masanya orang Sabah belajar untuk tidak mempercayai pemimpin-pemimpin ini lagi demi kebaikan mereka sendiri.
Pemimpin-pemimpin kerajaan Sabah mesti berpendirian tegas dan berkata “cukup cukuplah!”. Jika tidak, lebih baik mereka meletak jawatan kerana tidak memainkan peranan dan mampu menjaga kepentingan Sabah dan rakyat Sabah.
Royalti minyak 20% mesti dibayar seperti yang dijanjikan.
Membayar royalti minyak 20% tidak akan membuat Petronas muflis kerana sebenarnya ia hanya perlu menghasilkan 10% lagi. 5% yang lain boleh datang dari pembayaran tunai, royalti 5% yang dibayar kepada kerajaan Persekutuan, yang tidak sepatutnya dibayar royalti kerana bukan pemilik sumber.
Alternatifnya adalah untuk membayar keuntungan Petronas kepada negeri pengeluar minyak memandangkan kerajaan persekutuan sudah mengumpul cukai pendapatan petroleum dari Petronas dan syarikat minyak antarabangsa.
Petronas menyumbang kira-kira RM60 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan dan jika ia berkurangan untuk membayar 20 royalti minyak kepada empat negeri pengeluar minyak iaitu Sabah, Sarawak, dan Terengganu, maka mereka perlu belajar berbelanja dengan berhemah dan tidak menyalahgunakan apa yang sepatutnya menjadi hak Sabah dan Sarawak.
Semasa pembayaran royalti minyak sedang dibincangkan, Kerajaan Persekutuan dan Sabah harus segera berunding untuk memulangkan hak pemilikan minyak dan gas. Tidak ada legitimasi untuk Petronas dan Kerajaan Persekutuan untuk terus memegang minyak dan gas Sabah dan Sarawak dan “merompak” hasil sumber minyak dan gas yang keluar dari Sabah dan Sarawak.
Kerajaan Persekutuan dan Sabah pada masa itu perlu sedar bahawa apabila Sabah dan Sarawak tidak lagi berada di Malaysia, pemilikan sumber minyak dan gas adalah milik negeri masing-masing.
Menidakkan pemberikan 20% royalti minyak dan pendapatan bersih 40% walaupun Sabah berhak mengikut Perlembagaan dan mengekalkan sumber minyak dan gas Sabah pastinya bertentangan dengan visi Pakatan Harapan iaitu “Berkongsi Kemakmuran” bagi semua rakyat Malaysia. Melainkan rakyat Sabah hanya dianggap penduduk koloni bukan rakyat Malaysia!