138 saman dikeluarkan dalam OP Selamat
KUCHING:Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Diraja Kontinjen Sarawak mengeluarkan sebanyak 138 saman atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Bersepadu sempena OP Selamat Ke -16 perayaan Tahun Baru Cina 2020 malam tadi.
Sepanjang operasi bertempat di Jalan Simpang Tiga Kuching mulai jam 8 malam hingga jam 12 tengah malam itu sebanyak 427 buah kenderaan telah diperiksa.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak,Superintendan Alexson Naga Chabu berkata,antara kesalahan yang dilakukan termasuklah tiada lesen memandu, ubah suai ekzos, lampu hadapan silau, tiada perlindungan insuran, lampu brek tidak menyala dan cukai jalan tamat tempoh.
"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya supaya mereka tidak dikenakan tindakan penguatkuasaan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik di mana sahaja mereka berada terutamanya dalam tempoh OP Selamat ini.
"Tujuan utama operasi ini diadakan agar orang ramai lebih berhati-hati ketika memandu seterusnya mengelak daripada berlakunya kemalangan di musim perayaan Tahun Baru Cina di samping menguatkuasakan peraturan serta undang-undang jalan raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi yang diadakan itu secara tidak langsung boleh mencegah aktiviti jenayah serta penyalah gunaan dadah di musim perayaan ini terutamanya di bandaraya Kuching.
"Operasi ini melibatkan tiga Pegawai Kanan dan 13 anggota Jabatan Siasatan dan Penguat kuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis DiRaja Malaysia Kontinjen Sarawak, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Kuching, IPD Padawan dan IPD Kota Samarahan yang diketuai oleh DSP Muhamad Rizal Bin Alias, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak.
"Dua anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah dan dua anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kuching turut membantu di dalam menjayakan operasi bersepadu ini,"katanya.
