24 Bahagian Bersatu Johor layak bersidang


JOHOR BAHRU, 15 Jan (Bernama) -- Hanya 24 daripada 26 bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor layak mengadakan pemilihan pada pertengahan April ini.

Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang berkata dua bahagian iaitu Sembrong dan Mersing tidak dibenarkan berbuat demikian kerana tidak menepati jumlah cawangan yang diperlukan dalam syarat pemilihan.

Katanya bagi membolehkan sesuatu bahagian mengadakan pemilihan untuk memilih jawatankuasa yang baharu di peringkat itu serta untuk menghantar wakil ke pemilihan di peringkat Majlis Tertinggi, ia mestilah mempunyai sekurang-kurangnya 10 cawangan. 

“Jadi, ada kemungkinan ia (Bahagian Sembrong dan Mersing) boleh bersidang tetapi sebagai pemerhati sahaja dan kalau bahagian tidak boleh bersidang, maknanya cawangan pun akan menerima nasib yang sama.

“Bagaimanapun, perkara ini belum muktamad lagi kerana kami masih menunggu keputusan daripada kepimpinan pusat berhubung rayuan kedua-dua bahagian ini terhadap pemilihan berkenaan.
 
“Keputusan dijangkakan diketahui dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Perayaan Tahun Baharu Cina 2020 oleh Yayasan Bandaraya Johor Bahru di sini, hari ini. 

Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata pemilihan peringkat bahagian dijalankan secara serentak di seluruh negara pada 18 April ini manakala peringkat cawangan, dicadangkan diadakan bermula 15 Feb hingga 29 Mac, selepas berakhirnya sesi penamaan calon pada 26 Januari. 

“Pada pemilihan ini, semua bahagian akan melihat pertandingan untuk jawatan ketua bahagiannya kecuali di Bahagian Pagoh, yang saya rasa tidak ada orang akan melawan Tan Sri Muhyiddin Yassin (penyandang Ketua Bahagian),” katanya.

Beliau berkata mana-mana ahli yang berminat untuk bertanding dinasihatkan supaya bertanding secara sihat dan tidak membuat sebarang fitnah terhadap pihak lain.

“Walaupun kita (Bersatu Johor) telah bersedia untuk melakukan pemilihan, namun harus diingat bahawa kita perlu mengelakkan sesuatu yang tidak mengguntungkan. Kalau kalah, reda dan terimalah keputusan kerana kehidupan bukan sekadar untuk jawatan semata-mata,” katanya.

Bersatu Johor setakat ini mempunyai kira-kira 40,000 ahli berdaftar.
-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel