26 GRO dicekup
KUALA LUMPUR: Polis menahan 26 pelayan pelanggan (GRO) hasil serbuan di sebuah premis hiburan tiga tingkat di Pusat Perdagangan, Seri Kembangan, dekat sini, tengah malam tadi (17 Jan).
Penolong Pengarah Bahagian Anti Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Bukit Aman ACP Mohd Hedzir Hussin berkata dalam Op Noda/Dadu itu sebanyak 19 warga Vietnam, empat warga Indonesia dan tiga warga tempatan berumur lingkungan 19 hingga 40 ditahan, dilaporkan mengenakan bayaran RM180 sejam untuk menemani pelanggan.
“Hasil serbuan yang dilakukan D7 Bukit Aman itu mendapati selain dijadikan sebagai pusat karaoke, premis yang mempunyai lesen sah perniagaan pusat hiburan itu turut menyediakan mini kasino di tingkat dua premis.
"Berikutan itu polis turut menahan 11 pelanggan yang sedang berjudi dan 21 individu yang bekerja sebagai juruwang, pengawal dan pelayan di premis berkenaan, dengan 14 orang daripadanya merupakan warga Bangladesh dan Indonesia.
"Kesemua mereka berumur antara 19 hingga 45 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Selain itu, katanya polis turut merampas wang tunai sebanyak RM47,536 selain 54 keping kad daun terup, satu dadu dan satu peti hitam.
-- BERNAMA
