Abang Jo dendang lagu Kasih Sayang di Kopi O Korner
KUCHING: Dendangan lagu Kasih Sayang dan Hati Ke Hati nyanyian Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendapat tepukan gemuruh pengunjung Restoran Kopi O Korner malam tadi.
Abang Johari menyertai majlis sembang santai dan kehadirannya pada jam 8.30 malam mengejutkan pengunjung yang hadir.
Sebaik sahaja duduk, beliau memesan air tongkat ali, mi daging dan udang rebus.
Abang Johari yang mengenakan baju batik berwarna kuning emas, kelihatan tidak kekok beramah mesra dengan orang ramai yang menikmati makanan dan minuman di situ.
Beliau meluangkan masa kira-kira dua jam bersama beberapa tetamu kehormat. Turut hadir Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak Abdullah Saidol.