Ambiga bantah projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR)

Aktivis Datuk Ambiga Sreenevasan meluahkan kebimbangan terhadap projek Penambakan Selatan Pulau Pinang (PSR) berskala besar yang akan merosakkan ekologi Pulau Pinang. 



Katanya, projek kerajaan Pulau Pinang untuk untuk menambak 3 buah pulau berukuran 4,500 ekar, itu dikhuatiri mendatangkan impak negatif pada keadilan alam sekitar dan hak asasi manusia. 

“Projek PSR akan mengakibatkan “kemusnahan kekal” kepada ekosistem pesisir dan kawasan perikanan terkaya Pulau Pinang, dan akan menjejaskan 4,909 orang nelayan dan 511 penternak ikan air payau.”

“Sedangkan perlombongan pasir untuk PSR akan memberi impak negatif kepada 6,000 orang nelayan dan penternak ikan air payau di utara Perak,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Ambiga menambah, projek ini juga bercanggah dengan prinsip keadilan alam sekitar dan hak asasi manusia komuniti pesisir yang tertindas.

Keadilan alam sekitar adalah selaras dengan pengagihan beban dan manfaat alam sekitar yang “adil”, sekaligus memastikan komuniti yang rentan dan berpendapatan rendah tidak menanggung padah pencemaran, degradasi alam sekitar dan gawat iklim,” kata Ambiga. 

Penambakan 3 buah pulau buatan, yang kononnya "pintar dan hijau" itu, menyasarkan golongan pembeli dan pelabur, akan dilaksanakan dengan meminggirkan golongan rentan dan generasi mendatang.

“Projek penambakan sebagai strategi pembangunan di Malaysia memangsakan ribuan anggota komuniti pesisir berpendapatan rendah, sebagai “mangsa pembangunan”. 

Sehubungan itu Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) semalam mengemukakan memorandum kepada SUHAKAM.

Memorandum ini mengutarakan lima isu Keadilan Alam Sekitar, yang memberi dampak kepada masyarakat nelayan tradisional/pantai dan komuniti nelayan, yang seharusnya menarik perhatian Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebagai pelaksana dan penganjur projek PSR.

Penang Tolak Tambak adalah gandingan Persatuan Nelayan Pulau Pinang dan Penang Forum yang terbentuk pada pertengahan 2019, bertujuan menghentikan projek penambakan PSR.

Kenyataan itu menambah, dua petisyen untuk menghentikan PSR telah ditandatangani oleh lebih daripada 250,000 penyokong (change.org, rainforest rescue). 

Jumlah ini jelas menunjukkan sokongan merata masyarakat tempatan, nasional dan antarabangsa buat para nelayan dan perlindungan ekosistem marin.

Rayuan dikemukakan kepada Perdana Menteri Malaysia dan Ketua Menteri Pulau Pinang supaya memakai “prinsip kehati-hatian” untuk perlindungan alam sekitar dan seterusnya menghentikan /membatalkan cadangan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang.

“Kami menyeru SUHAKAM untuk memberi nasihat kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, pemaju, pegawai kerajaan, dan pihak berkuasa perikanan supaya menghormati hak komuniti perikanan untuk Keizinan Bebas, Terdahulu dan Termaklum (Free, Prior and Informed Consent) melalui perundingan adil dan telus.”

SUHAKAM juga harus memastikan bahawa masyarakat nelayan tempatan tidak dinafikan hak-hak mereka kepada kawasan sumber perikanan yang telah menjadi sumber mata pencarian mereka selama turun-temurun.  

Untuk melindungi hak asasi komuniti nelayan, SUHAKAM perlu menjalankan penyiasatan penuh atas masalah nelayan Pulau Pinang dan Perak yang terancam oleh cadangan projek Penambakan Selatan Pulau Pinang.


LihatTutupKomentar
Cancel