Amri senjata pemusnah Sarawak United
BEKAS penyerang lincah kebangsaan, Amri Yahyah akan mengetuai barisan jentera serangan Sarawak United yang beraksi dalam Liga Premier.
Amri diturunkan pada perlawanan persahabatan menentang Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak KL pada 23 Januari lalu yang menyaksikan Sarawak United tewas 1-2.
Sarawak akan menentang pasukan PDRM FA pada aksi perlawanan persahabatan kedua pada petang ini di padang Pulapol.
Perlawanan terakhir siri jelajah Sarawak United menentang Felda United di Padang Pusat Latihan Bangi pada 30 Januari ini.
Bekas penyerang Johoir Darul Tadzim dan Selangor berusia 39 tahun tersebut dijangka akan ke Kuching bersama-sama rombongan pasukan selepas siri jelajah di Semenanjung Malaysia.
Pada November tahun lalu, Amri enggan melanjutkan kontrak dengan skuad Selangor kendalian B. Satianathan.
Beliau dikatakan kecewa apabila sering kali tersisih daripada kesebelasan utama skuad Merah Kuning itu walaupun berada dalam prestasi yang bagus.
"Saya masih belum berniat untuk bersara… jangan risau.
"Namun ingin saya ingatkan, pasukan yang bakal saya sertai tidak mampu diatasi Selangor," katanya.
Amri diiktiraf sebagai antara penyerang tempatan terbaik di Malaysia ketika zaman kemuncak. Malah sekarang ini beliau masih mempunyai sentuhan berbisa.
Ketika bersama-sama JDT, Amri meraih tiga trofi Liga Super, pada 2014, 2015 dan 2016 serta Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih pada 2015 dan 2016.
Ketika bersama Selangor pula beliau pernah menjulang Piala Malaysia pada 2002 dan 2005 sertai tiga Piala FA dan dua Piala Liga Super.
Skuad Sarawak United yang dibimbing Juan Carlos Magro dalam fasa persiapan akhir, dan dijangka akan mengumuman barisan pemain pada awal Februari depan.
