Berapa kos bas hidrogen, tanya DAP Sarawak
KUCHING, 23 Jan: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak meminta kerajaan negeri mendedahkan keseluruhan kos memperkenalkan perkhidmatan bas hidrogen yang dilancarkan, di sini, 21 Januari lepas.
Naib Pengerusi DAP Sarawak, Wong King Wei berkata ini kerana sebelum ini beliau dimaklumkan sebanyak tiga bas terbabit telah dibeli kerajaan Sarawak sebelum ini bagi memulakan perkhidmatan bas terbabit.
"Saya ingin bertanya melalui media kepada kerajaan Sarawak dan Ketua Menteri Sarawak iaitu berapakah kos keseluruhan perlaksanaan bas hidrogen terbabit,"katanya ketika sidang media di The Harapan House, Jalan Tun Jugah, di sini, hari ini.
Wong yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padungan berkata ini kerana beliau tiada maklumat mengenai harga bas hidrogen tetapi diseluruh dunia, teknologi terbabit tidak popular dan ada banyak teknologi lain yang juga bersih dan popular seperti bas enjin diesel Euro 5 dan juga bas elektrik yang banyak digunakan di China.
"Satu bas elektrik lengkap teknologi wifi, sistem pengesanan global (gps) dan sebagainya harganya boleh mencecah RM1 juta manakala satu bas enjin diesel Euro 5 harganya sekitar RM700,000 hingga RM800,00. Saya mungkin tersalah maklum, tetapi ini apa saya dengar dari peserta industri bas,"katanya.
Beliau berkata disamping itu bas elektrik boleh dicas semula dengan mudah dan begitu juga bas enjin diesel Euro5 yang mudah mendapatkan bahan apinya dari stesen minyak biasa berbanding bas hidrogen yang perlu boleh mengisi hidrogen di stesen dibina khusus sahaja.
Selain harga bas, Wong juga mahu kerajaan negeri mendedahkan samada negeri ini sudah ada tenaga pakar yang mampu mengendalikan masalah kerosakan atau kepincangan sistem bas hidrogen terbabit yang merupakan teknologi yang masih baharu di dunia.
"Maka, adalah kenyataan yang adil mengatakan kerajaan Sarawak meletakkan Sarawak sebagai tapak ujikaji pengunaan teknologi bas hidrogen,"katanya.
Beliau berpendapat tidak perlu mengunakan teknologi baharu yang jarang digunakan di dunia bagi menyediakan perkhidmatan bas di bandar raya ini kerana yang lebih penting adalah bas terbabit boleh bergerak dijalan raya dan digunakan orang ramai.
Selain itu, Wong juga menjelaskan beliau telah digantung dari menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak selama 12 bulan menyebabkanya mengemukakan soalan terbabit kepada kerajaan Sarawak melalui media.
tamat
keterangan gambar:
1. Wong King Wei ketika mengadakan sidang media di The Harapan House, Jalan Tun Jugah, di sini, hari ini.