Buka klinik mandul kucing
KUCHING: Rabies berlaku setiap kali musim mengawan.
Presiden Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) Sarawak Datin Dona Drury-Wee berkata, haiwan peliharaan terbabit akan keluar dan berkelahi sesama sendiri semasa berebut pasangan dan juga menyebarkan penyakit Rabies.
Sehubungan itu katanya, cadangan pembukaan klinik pemandulan berkos rendah untuk kucing dan anjing peliharaan diharapkan dapat membantu orang ramai yang kurang berkemampuan membawa haiwan peliharaan mereka ke klinik haiwan swasta bagi dimandulkan.
Katanya, orang ramai diseru menghantar haiwan peliharaan mereka itu ke klinik itu yang akan dikendalikan sukarelawan veterinar.
Beliau berkata, pihaknya akan mendapatkan peruntukan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi membuka klinik pemandulan berkos rendah terbabit di seluruh Sarawak.
"Ini kerana ketika operasi vaksinasi rabies (di seluruh negeri ini sebelum ini ), Jabatan Veterinar memberitahu kami yang ada banyak rumah panjang (di luar bandar) telah meminta perkhidmatan memandulkan haiwan peliharaan itu," katanya ketika menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke rumahnya sempena perayaan Tahun Baharu Cina di sini, semalam.
Beliau berkata, cadangan pembukaan klinik (klinik pemandulan berkos rendah) sudah mendapat kelulusan Datuk Amar Douglas Uggah (Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan II Sarawak) danDatuk Seri Dr Sim Kui Hian (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak).
Beliau berkata hanya dengan memandulkan haiwan peliharaan terbabit baharulah populasi anjing dan kucing liar di jalanan negeri ini dapat dikurangkan dan seterusnya membantu pihak berkuasa mengawal penyakit rabies daripada merebak.
