Chong minta bajet untuk Red FM
KUCHING, 18 Jan: Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak akan memohon Kementerian Komunikasi dan Multimedia memberikan peruntukan kepada seksyen radio cina di RTM Sarawak bagi menjalankan programnya.
Pengerusi DAP Sarawak dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Chong Chieng Jen berkata demikian berikutan dimaklumkan selama ini seksyen radio terbabit tidak pernah menerima peruntukan dari kementerian itu bagi menjalankan programnya.
"Saya akan berhubung dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bagi melihat memberikan bajet peruntukan kepada seksyen radio cina RTM Sarawak. Saya fikir mereka kumpulan yang terlepas pandang,"katanya selepas menghadiri Program Pentas Khas Tahun Baharu Cina REDfm 2020 "Red Red New Year" dan Pertandingan Nyanyian Lagu Tahun Baharu Cina di AEON Mall, di sini, malam ini.
Chong berkata ini merupakan kali pertama REDfm yang juga seksyen radio cina RTM Sarawak itu mengadakan program pentas khas dan pertandingan nyanyian karaoke terbabit dan yakin sekiranya ada peruntukan dari kementerian itu pastinya seksyen radio cina itu akan ada lebih banyak sumber dan tenaga manusia bagi mempromosikan program itu.
"Sebelum ini mereka telah bertemu dengan saya menyatakan yang mereka mahu mengadakan program pentas khas dan pertandingan nyanyian karaoke lagu Tahun Baru Cina bagi mewujudkan suasana meraikan perayaan itu,"katanya.
Beliau kemudian telah bersetuju mengunakan peruntukannya sebagai Ahli Parlimen Stampin sebanyak RM15,000 kepada seksyen radio cina terbabit.
tamat
keterangan gambar:
1.Chong Ching Jen (dua dari kanan) menyampaikan resit membuktikan beliau sudah memasukkan peruntukan Ahli Parlimennya sebanyak RM15,000 secara pembayaran elektronik kepada wakil seksyen radio Cina RTM Sarawak ketika menghadiri Program Pentas Khas Tahun Baharu Cina REDfm 2020 "Red Red New Year" dan Pertandingan Nyanyian Lagu Tahun Baharu Cina di AEON Mall, di sini, malam ini.
2. Chong Chieng Jen (kiri) berucap kepada orang ramai yang menghadiri Program Pentas Khas Tahun Baharu Cina REDfm 2020 "Red Red New Year" dan Pertandingan Nyanyian Lagu Tahun Baharu Cina di AEON Mall, di sini, malam ini.