Dewan Perniagaan dan Industri Cina yakin ekonomi Sarawak tumbuh 6%,
KUCHING, 26 Jan: Dewan Perniagaan dan Industri Cina Kuching (KCGCCI) yakin Sarawak mampu mencapai sasaran pertumbuhan ekonomi sebanyak 6 peratus tahun ini.
Presidennya, Datuk Tan Jit Kee berkata demikian dan rakyat Sarawak hanya perlu bersama berkerja keras bagi mencapai sasaran terbabit kerana tahun ini lebih banyak projek berskala besar dijalankan kerajaan negeri.
"Kita boleh mencapai 6 peratus pertumbuhan itu, kerana tahun ini terdapat banyak projek besar dijalankan seperti Jalan Pesisir Pantai dan Jalan Raya Kedua serta pertanian moden,"katanya ketika menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di kediamannya di Jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.
Tan berkata projek pembekalan elektrik dan air ke luar bandar yang akan dipergiatkan kerajaan Sarawak juga akan merangsang perkembangan ekonomi Sarawak disamping usaha menyertai industri minyak dan gas negeri ini.
"Ketua Menteri berkata yang kita akan mengendali minyak kita sendiri, kita mengurus sendiri. Saya fikir ini akan merangsang pertumbuhan ekonomi kita,"katanya dan menambah dewan terbabit akan meraikan ulangtahun ke 130 tahun ini.
Tan mengulas perutusan Tahun Baharu Cina 2020, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang mensasarkan pertumbuhan ekonomi Sarawak boleh mencapai antara lima hingga enam peratus tahun ini.
Ini berikutan peningkatan perbelanjaan awam dan lebih banyak dana disuntik menerusi belanjawan tahunan serta inisiatif pembiayaan alternatif.
tamat.
keterangan gambar:
1.Datuk Tan Jit Kee (tengah) bersama Ketua Menteri yang berkunjung ke kediamannya di jalan Ong Tiang Swee di sini, hari ini.
