Disambar buaya di atas jambatan
LIMBANG: Misteri mayat lelaki yang ditemui mati diserang buaya akhirnya dikenalpasti.
Pengecaman dibuat oleh abang mangsa, Buang Aman, 67, semalam.
Mangsa Damit Aman, 50, anak ketiga daripada tujuh beradik dari Kampung Ulak sebelum ini ditemui separuh badan di Sungai Limbang, berhampiran tanah perkuburan Batu Miris.
Damit yang tinggal bersendirian dipercayai dibaham ketika berada atas jambatan berhadapan rumahnya pada waktu malam.
Mayat mangsa yang dijumpai separuh badan tanpa dua belah kaki dan tangan kanan dipercayai mati dalam tempoh 48 jam.
Seorang penduduk kampung berkata, kehilangan mangsa disedari kelmarin jam 5 petang apabila pelanggan tetap mangsa mahu membeli pisang.
Katanya, pelanggan yang juga pembeli pisang setiap minggu akan datang ke rumah mangsa untuk membeli buah pisang.
“Namun setelah beberapa kali memanggilnya di rumah dan mencari di sekitar kebun berdekatan, namun mangsa tidak ditemui. Disebabkan gagal menemui mangsa," katanya.
Ketika proses pencarian penduduk kampung menemui selipar mangsa di atas jambatan dan abang mangsa bertindak membuat laporan polis kehilangan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Limbang, Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, pengecaman dibuat oleh abang mangsa melalui gambar yang ditunjukkan.
"Kali terakhir abangnya melihat mangsa adalah dua hari sebelum dilaporkan hilang," ujarnya dalam kenyataan.
Menurutnya, kehilangan mangsa disedari selepas seorang pelanggan mencari abangnya kerana tidak dapat menghubungi mangsa seperti biasa untuk mengambil pisang.
"Abang mangsa kemudiannya pulang ke rumah adiknya dan mendapati dia tiada di rumah, dan apabila ke sungai, mendapati ada selipar adiknya di tepi sungai," katanya.