Dua remaja maut,motosikal rempuh kereta
MIRI:Dua remaja maut setelah motosikal yang ditunggang terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Persisiran Pantai berhampiran Simpang Kejapil di sini, tengah hari tadi.
Dalam kejadian 12.50 tengah hari itu, mangsa yang maut dikenali Clarance Ramos ak Kerry dan Steven ak Ateng masing-masing berumur 20 tahun.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua remaja itu dalam perjalanan dari arah Miri menuju ke arah Bintulu.
"Apabila sampai di tempat kejadian motosikal mangsa telah masuk ke laluan bertentangan lalu berlanggar dengan depan Perodua Viva yang dipandu seorang guru wanita yang datang dari arah bertentangan.
"Impak kejadian menyebabkan salah seorang mangsa maut serta-merta ditempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Miri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kedua-dua kenderaan mengalami kerosakan pada bahagian hadapan.
Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) APJ 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan.
