e-Tunai Rakyat tidak ceroboh data peribadi rakyat - Guan Eng


PUTRAJAYA: Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menjelaskan bukan tujuan kerajaan mewujudkan program e-Tunai Rakyat untuk mendapatkan atau menceroboh maklumat dan data peribadi rakyat.

Program e-Tunai Rakyat dilancarkan Selasa lalu bagi membolehkan rakyat Malaysia berkelayakan menuntut RM30 melalui tiga pengendali e-dompet iaitu Grab, Boost dan Touch ‘n Go.

Inisiatif ini diumumkan kerajaan pada pembentangan Belanjawan 2020, Oktober tahun lalu yang menyediakan peruntukan RM450 juta bagi menggalakkan budaya digital dan peralihan masyarakat tanpa tunai.


Guan Eng berkata, kerajaan sebenarnya boleh mendapatkan data peribadi rakyat dengan mudah menerusi carian menggunakan kad pengenalan.

“Kerajaan tidak terbabit dalam perniagaan (tiada kepentingan). Jika ada kesan pun hanya membabitkan trend penggunaan. Kita akan pastikan ini masih sulit dan terus dalam kawalan kerajaan.

“Kalau hendak sebut pasal data, semua ada dalam kad pengenalan, tidak perlu cara ini (program e-Tunai Rakyat).

“Oleh sebab itu, kita jangan terbawa-bawa dengan pihak tertentu yang mungkin iri hati program e-Wallet dan mahu memperkotak-katik program ini yang mendapat sambutan baik rakyat,” katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Guan Eng mengulas dakwaan pihak tertentu yang mendakwa program e-Tunai Rakyat adalah strategi kerajaan untuk mendapatkan maklumat peribadi rakyat sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
LihatTutupKomentar
Cancel