Harga barang musim perayaan dipantau


KUCHING, 24 Jan: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) masih belum mengesan peniaga di Sarawak menjual 16 barangan disenaraikan dalam Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2020 melebihi harga maksima skim itu sejak bermula 20 Januari hingga hari ini.  

Ketua Setiausahanya, Datuk Muez Abd Aziz berkata ini walaupun pihaknya telah melakukan sebanyak 8,504 pemeriksaan ke pemis perniagaan di seluruh negara termasuk di Sarawak sejak skim selama 14 hari itu bermula 20 Januari lepas sehingga semalam.

"Sebahagian harga barang skim yang saya tengok (dalam pemeriksaan) tadi contohnya ubi kentang dijual kurang pada harga maksima ditetapkan , sepatutnya RM 3.50 (sekilogram) dia jual cuma RM2.80 (sekilogram) sahaja. Kobis tetapkan( harga maksimanya) RM4 sekilogram, cuma dijual tak silap saya RM2.20 sekilogram,"katanya ketika mengadakan pemeriksaan SHMMP Tahun Baharu Cina 2020 di Aeon Mall, di sini, hari ini.

Muez berkata sehubungan itu meminta peniaga di negeri ini untuk terus menjual 16 barangan dalam senarai skim terbabit lebih rendah dari harga maksimum yang ditetapkan seperti yang dijual di Aeon Mall.

Selain itu, beliau berkata pihaknya setakat ini sudah menerima dua aduan terhadap pematuhan harga maksima skim terbabit oleh peniaga di seluruh negara tetapi tiada aduan itu diterima dari Sarawak.

Manakala sebanyak 55 kes peniaga pula dikesan melakukan kesalahan gagal mengunakan tanda harga khas dan tiada tanda harga pada barang seluruh negara sehingga 23 Januari lepas dan tiada juga kes itu dari Sarawak.

Muez berkata kes terbabit tertinggi di Johor dengan 21 kes, Kelantan (10 kes), Negeri Sembilan (6 kes), Perak (4 kes), Pahang (4 kes) dan Selangor (2 kes).
tamat 

 keterangan gambar:

1.Datuk Muez Abd Aziz (dua dari kiri) memeriksa harga kobis bersama kakitangan KPDNHEP Sarawak, di Aeon Mall, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel