Kereta terbang bukan Wawasan 2020 - Mahathir
KUALA LUMPUR: Kewujudan kereta terbang bukan wawasan yang ingin dicapai Malaysia pada 2020, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Saya harap tidak ada lagi pihak yang bercakap bahawa Wawasan 2020 ini bermakna ada kereta bermotor yang boleh terbang. Itu bukan wawasan kita,” kata Perdana Menteri.
Dalam rakaman temubual disiarkan pada program Pagi Hari di Kool FM oleh stesen radio Media Prima Berhad, Kool FM, pagi tadi, Dr Mahathir berharap tidak ada lagi pihak yang mengaitkan Wawasan 2020 dengan kereta terbang.
“Itu adalah kemajuan yang dicapai mungkin di negara lain, tidak berbentuk kereta, tetapi kenderaan yang boleh terbang dan membawa orang, yang juga sejenis dron. Di Malaysia, kita boleh lihat kenderaan seperti ini di kemudian hari,” katanya.
Perdana Menteri menegaskan, banyak sasaran yang digariskan di bawah Wawasan 2020 sebenarnya sudah dicapai terutama dari segi kemakmuran rakyat dan pembangunan negara yang jelas kelihatan.
Beliau bagaimanapun mengakui, pencapaian itu tidak sepenuhnya kerana Malaysia belum mencapai status negara maju dan masih ketinggalan dalam bidang tertentu.
“Walaupun kita tidak capai sepenuhnya, tapi sedikit sebanyak kita sudah capai Wawasan 2020. Kalau dibandingkan Malaysia hari ini pada 2020 dan sewaktu kita melancarkan wawasan ini pada 1991, kita akan lihat perbezaan.
“Rakyat dan negara lebih makmur, pembangunan sudah terlihat jelas di seluruh negara dan infrastruktur yang lebih baik, tetapi belum sampai tahap yang boleh dikatakan kita negara maju kerana ada bidang tertentu yang kita ketinggalan.
“Inilah yang menyebabkan kita akui tidak mencapai Wawasan 2020,” katanya.
Dr Mahathir sebelum ini mengakui, sasaran yang ditetapkan di bawah Wawasan 2020 yang diilhamkan beliau pada 1991 gagal dicapai sepenuhnya, namun yakin hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju mampu dicapai melalui Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.