Kerusi bayi: kelonggaran enam bulan
SERIAN, 18 Jan: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak masih belum mengeluarkan saman atau kompaun kepada ibu bapa yang tidak mengunakan kerusi keselamatan kanak-kanak bagi membawa anak kecil dalam kenderaan di jalan raya negeri ini sehingga Jun depan.
Pengarah JPJ Sarawak, Mohd Syafiq Anas Abdullah berkata demikian berikutan pihaknya sudah diarahkan supaya memberikan kesedaran pengunaan kerusi terbabit secara advokasi terlebih dahulu selama enam bulan kepada pemilik kenderaan di negeri ini.
"Ini khususnya kepada ibu bapa yang ada membawa kanak-kanak dalam kenderaan, jadi kita (anggota JPJ) akan mengedarkan borang kepada mereka sebagai peringatan. Tiada saman ataupun kompuan dikeluarkan sehingga Jun tahun ini,"katanya ketika melancarkan Ops TBC 2020 Peringkat JPJ Sarawak di Stesen Penguatkuasa Serian, di sini, hari ini.
Mohd Syafiq sehubungan itu meminta ibu bapa di negeri ini mula memasang kerusi terbabit pada kenderaan bagi membawa anak kecil seperti yang sudah ditetapkan kerajaan pusat.
"Perkara ini telah diluluskan oleh kabinet dan peringkat kementerian (Kementerian Pengangkutan) melalui Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar) ( Pindaan) 2019 pada Disember lepas,"katanya.
Selepas enam bulan terbabit, beliau berkata pihaknya biasanya akan mengadakan penguatkuasaan dan sekiranya pemilik kenderaan masih gagal juga memasang kerusi itu bagi membawa kanak-kanak akan dikenakan kompaun.
"Antara kadar kompaun yang telah dicadangkan kepada pihak kementerian ( pengangkutan) antara RM300 sehingga 1,000,"katanya.
Selain itu, beliau juga mendedahkan setakat ini hanya dua kes kenderaan klon telah dikesan pihaknya berlaku di Sarawak dan kenderaan mewah dalam dua kes itu telah disita dan makkamah sudah memutuskan kenderaan terbabit dilucutkan haknya.
"Ia (kes kenderaan klon di Sarawak) tidaklah seteruk di Semenanjung Malaysia. Kami mengesan kenderaan itu dibawa masuk ke negeri ini melalui pelabuhan tertentu,"katanya.
Beliau juga mendedahkan sepanjang 2019, keseluruhannya di Sarawak sebanyak 52, 915 notis saman telah dikeluarkan jabatan itu dan sebanyak 35, 425 kenderaan telah diambil tindakan dari 196, 203 kenderaan yang diperiksa mereka.
Mohd Syafiq berkata kesalahan di jalan raya banyak dilakukan tahun lepas pula ialah membawa lebih muatan dengan sebanyak 2,352 kes, cermin gelap (1,162 kes), ubahsuai badan lori (856 kes),kes tali pinggang keledar hadapan ( 812 kes), muatan bahaya (802 kes), lampu HID (274 kes), langgar lampu merah (122 kes) dan tidak pakai topi keledar (68 kes).
keterangan gambar:
1. Mohd Syafiq Anas Abdullah menunjukkan borang yang akan diberikan mereka kepada pemilik kenderaan selama enam bulan sebagai memberi kesedaran secara advokasi mengenai pengunaan kerusi keselamatan bagi membawa anak kecil dalam kenderaan di jalan raya negeri ini ketika melancarkan Ops TBC 2020 Peringkat JPJ Sarawak di Stesen Penguatkuasa Serian, di sini, hari ini.