KTC ambil alih jenama Gardenia Sarawak

KOTA KINABALU: - Pengedar barangan pengguna Kim, Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), menandatangani perjanjian pelesenan dengan Tong Hing Holdings untuk mengurus jenama roti bakeri terkenal, Gardenia, di Sabah, Sarawak dan Indonesia.

Menerusi perjanjian itu, KTC akan menjadi pengusaha tunggal Gardenia Bakeries (East Malaysia) Sdn Bhd berkuat kuasa semalam (22 Jan) dan merupakan anak syarikat 100 peratus milik Kim Teck Cheong Consolidated Berhad.

Pengarah Eksekutif KTC, Dexter Lau berkata pengambilalihan Gardenia itu akan mengukuhkan kehadiran bakeri syarikat di Sabah dan Sarawak, serta membuka pintu masuk jenama itu ke pasaran Indonesia.

Beliau berkata syarikat itu akan mendapat akses kepada semua resipi Gardenia dan bertanggungjawab ke atas pembuatan, pemasaran, pengedaran, penjualan dan pembangunan selanjutnya jenama itu.

Rakyat Malaysia membesar dengan Gardenia, jenama isi rumah terkenal yang telah menjadi peneraju pasaran dalam pengeluaran serta pemborongan roti sekurang-kurangnya untuk tempoh 50 tahun.

"KTC bangga mengumumkan pengambilalihan Gardenia, mengurus pertumbuhan dan pembangunannya di Sabah dan Sarawak serta Indonesia mulai sekarang," kata Dexter Lau dalam kenyataan di sini hari ini.

KTC berusaha untuk menembusi pasaran Indonesia yang luas dengan jenama Gardenia, selaras gesaan kerajaan negeri untuk memanfaatkan penempatan ibu negara Indonesia ke Kalimantan.

Dexter Lau berkata KTC telah mencapai kejayaan penting dalam mengalu-alukan Gardenia ke dalam keluarganya kerana ia akan memperkukuh dan meningkatkan portfolio perniagaan kumpulan itu dengan pesat.

"Ia juga merupakan pencapaian untuk KTC dilihat sebagai antara penggiat terbesar di kawasan tempat ia berkembang dan bersaing.

“Lembaga pengarah, rakan usaha sama serta pemegang saham teruja dengan peluasan syarikat itu ke Indonesia,” katanya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel