PGA rampas Kucing hutan bernilai RM50,000
BAU:Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas dua ekor kucing hutan spesis 'Flat Headed Cat' bernilai RM50,000 dipercayai untuk dijual.
Haiwan terlindung itu diselamatkan sekitar 6.30 petang dalam Ops Bersepadu Khazanah membabitkan seramai tiga pegawai dan anggota Batalion 11 PGA bersama dua pegawai Sarawak Forestry Corporation (SFC) atas risikan dan maklumat yang diperoleh.
Kucing hutan jantan dan betina itu dipercayai diperolehi dari Daerah Bau/Lundu dan menunggu tawaran harga yang tertinggi daripada pembeli terutama golongan penggemar memelihara spesis haiwan eksotik.
Pegawai Pemerintah Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA) Superintendan Rosdi Inai berkata, kucing hutan itu dijumpai disembunyikan dalam tandas di rumah, yang telah diubahsuai menjadi kandang haiwan.
"Pasukan serbuan turut menahan seorang lelaki berusia 46 tahun yang mengaku sebagai pemilik haiwan itu,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kes diserah kepada SFC untuk disiasat mengikut Seksyen 29 (1) Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1998 yang boleh membawa hukuman denda RM25,000 dan penjara dua tahun jika sabit kesalahan.
