Lima diberkas terlibat dadah di Sadong Jaya
SADONG JAYA:Lima lelaki berusia 26 hingga 63 tahun diberkas kerana terlibat dalam penyalahgunaan dadah di Zon Kemuning, Kampung Sadong Jaya Laut, malam tadi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Sarawak,Superintendan Hasnir Abdul Hamid berkata,bertindak atas maklumat dan risikan yang dijalankan, pada jam 12.30 tengah malam sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik IPK Sarawak telah membuat satu serbuan di rumah terbabit.
Menurutnya,pihaknya telah menahan lima orang lelaki yang sedang berada di hadapan rumah tersebut kerana disyaki terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.
"Semasa serbuan dilakukan, salah seorang suspek telah mencampakkan sesuatu ke atas bumbung bangsal di rumah sebelah.
"Pasukan serbuan dengan serta-merta membuat pemeriksaan dan hasilnya telah menjumpai satu bekas berbentuk
bulat yang di dalamnya mengandungi tiga keratan tiub straw merah yang setiap satu
keratan mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu berat kasar
0.29 gram," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya,pemeriksaan seterusnya ke atas kesemua suspek dan kawasan sekitar
ditempat mereka ditahan, telah menjumpai satu bekas kontena kecil berwarna putih
di atas simen beranda di hadapan rumah tersebut, di dalamnya terdapat lima keratan tiub straw lutsinar kemerahan, enam keratan tiub straw lutsinar, lima paket plastik lutsinar yang kesemuanya mengandungi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan berat kasar4.18 gram.
"Pemeriksaan lanjut di dalam rumah dengan disaksikan oleh kesemua suspek
telah menjumpai satu uncang warna kekuningan di dalamnya mengandungi satu paket plastik lutsinar besar dan enam paket plastik lutsinar kecil yang setiap satunya berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah syabu dengan betat kasar 32.91gram di tepi pintu masuk rumah tersebut," ujarnya.
Beliau berkata,kesemua suspek di bawa ke pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Samarahan untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah kesalahan Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.