Majlis Tilawah Al-Quran Sarawak 13 - 16 Januari
KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak melalui Majlis Islam Sarawak akan menganjurkan Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak kali ke-60.
Bahagian Miri menjadi tuan rumah bagi penganjuran Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sarawak yang berlangsung pada 13 hingga16 Januari di Dewan Suarah Miri.
Edisi pada tahun 2020 ini, merupakan tahun kedua Majlis Tilawah al-Quran dan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri (MTMQPN) diadakan serentak seperti tahun 2019.
Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri diadakan bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari selama dua hari iaitu pada 14 hingga 15 Januari 2020 manakala Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri akan bermula pada jam 8.00 malam mulai 13 hingga 16 Januari 2020.
Objektif penganjuran adalah untuk menyemarakkan lagi semangat cinta umat Islam kepada Al-Quran yang merupakan kitab suci yang syumul sifatnya merangkumi semua aspek kehidupan manusia, sebagai usaha untuk melahirkan lebih ramai Qari dan Qariah yang berkaliber di Negeri Sarawak ini di samping dapat mewujudkan persaingan yang sihat di kalangan para peserta.
Dalam masa yang sama Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran ini juga adalah sebagai satu platform bagi memilih wakil Negeri Sarawak ke Majlis Tilawah & Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang akan diadakan di Kota Kinabalu Sabah pada 14-21 Februari 2020 nanti.
Tema “Ummah Gemilang” bagi penganjuran MTMQPN pada tahun ini adalah amat signifikan dan bertepatan dengan situasi semasa.
Seramai 22 peserta terdiri daripada 11 qari dan 11 qariah yang akan menyertai Majlis Tilawah.
Bagi menghafaz Al-Quran pula, penyertaan para huffaz lelaki dan wanita dipertandingkan mengikut tiga kategori iaitu kategori Pertama Juzuk 1 hingga 10 (5 lelaki dan 5 wanita) diikuti Kategori Kedua - Juzuk 1 hingga 20 (5 lelaki dan 4 wanita) dan Kategori Ketiga - Juzuk 1 hingga 30 (5 lelaki sahaja)
Ketua Menteri Sarawak dijangka hadir merasmikan Majlis pada Isnin (13 Januari 2020).
Majlis Penyampaian Hadiah akan disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Khamis, 16 Januari 2020.
Dalam masa yang sama, beberapa program telah diatur bagi menarik lebih ramai pengunjung hadir ke majlis ini.
Antaranya Kuiz Al-Quran, Jom Ngaji Belagu Ngan Dato Ismawi Duet, Pameran Teks & Bahan Al-Quran, Jualan & Pameran dan Kolokium Al-Quran.
Orang ramai adalah dijemput hadir bersama keluarga bagi menghayati bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta memeriahkan acara-acara menarik lain yang telah diatur.