Musang King dominasi pokok durian 2022

SERDANG: Varieti Musang King dijangka mendominasi jenis pokok durian yang ditanam di Semenanjung kepada 50 peratus pada 2022 berbanding 36 peratus sekarang, kata Ketua Pengarah Pertanian Mohd Nasir Warris.

Beliau berkata, berdasarkan bancian yang dibuat pihaknya, terdapat 1.576 juta pokok durian ditanam di Semenanjung pada masa ini, dengan pokok jenis Musang King adalah sebanyak 569,000.

Selain pembukaan kawasan baharu untuk tanaman Musang King, dominasi varieti durian itu boleh berlaku sekiranya petani yang mempunyai pokok durian kampung yang sub standard atau tidak berkualiti, 'menukarkannya' kepada pokok durian Musang King, katanya.

“Yang sub standard ni, kalau pokok tu masih cergas elok kita akan tukar ke Musang King melalui cantuman dewasa di mana pokok itu kita akan cantum dengan mata tunas Musang King dan nanti dia akan naik sebagai pokok Musang King dan dengan teknik ini selepas tiga tahun pokok itu akan berbuah.

“Jadi, kita akan lihat pada tahun-tahun akan datang, peratusan durian kampung ini akan berkurang manakala Musang King akan bertambah,” katanya pada majlis ramah mesra Ketua Pengarah Pertanian Bersama Media di sini, hari ini. 
Mohd Nasir berkata antara tujuan digalakkan penanaman Musang King ialah bagi meningkatkan eksport kerana durian itu mempunyai permintaan tinggi di luar negara terutamanya China serta berupaya menambah pendapatan petani kerana harganya yang mahal berbanding durian biasa.

Beliau berkata pihaknya akan membantu para petani yang berminat dengan tanaman itu memastikan buah yang dikeluarkan selepas lima tahun ditanam adalah benar-benar varieti Musang King.

 “Musang King tak boleh ditanam terus melalui bijinya. Dalam satu pangsa, ada tiga ulas durian kalau ditanam akan keluar pokok lain dan tidak sama dengan pokok asal.

“Sebab itu nak hasilkan durian yang varieti sama kena buat cantuman mata tunas, kita ambil dari dahan, ambil dari mata tunas pokok tersebut, jadi kita tidak perlu risau orang beli Musang King dan tanam, ia tidak akan keluar Musang King,” katanya. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel