Pengurus kafe didakwa pandu berbahaya tukar pengakuan selepas dengar hukuman

KAMPAR, 23 Jan (Bernama) -- Seorang pengurus kafe di Banting, Selangor yang dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan memandu secara berbahaya, menukar pengakuan kepada tidak bersalah selepas mendengar hukuman yang bakal dihadapinya. 

S.Sugendran, 40, pada mulanya mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret, Nur Faizah Muhamad Saleh.

Dia didakwa memandu sebuah Toyota Vios secara berbahaya kepada orang awam di Kilometer 306, Lebuhraya Utara Selatan (arah selatan) pada 18 Jan lepas dengan memberhentikan kenderaan di tengah jalan secara tiba-tiba.

Sugendran dituduh mengikut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama, yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman penjara maksimum lima tahun, dan denda sehingga RM15,000.

Selepas jurubahasa mahkamah menerangkan semula hukuman kepadanya, Sugendran kemudian menukar pengakuan kepada tidak bersalah sebelum mahkamah membenarkannya diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 11 Feb ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Norashikin Hassanor, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Siti Hajar Hamzah.
-- Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel