Penuntut PHD Bangladesh ditangkap jual barang tiruan

KUALA LUMPUR: Seorang warga Bangladesh yang sedang mengikuti pengajian peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) didenda RM26,000 atau penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki 1,300 helai baju dan seluar tiruan kesemuanya jenama Adidas untuk tujuan perdagangan, Isnin lepas.

Hakim Manira Mohd Noor menjatuhkan hukuman itu ke atas Tauhiduzzaman MD, 31, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Inggeris.

Penuntut bidang pengurusan di sebuah universiti swasta tempatan itu didakwa mempunyai dalam kawalan bagi maksud perdagangan 1,300 helai baju dan seluar jenama Adidas bernilai RM10,400 yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah. 

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di Best Blessing Sdn Bhd, 15A, Jalan Merbau, di sini pada 4.30 petang, 13 Jan lepas mengikut Seksyen 102 (1) (c), Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102 (1) (ii) akta sama yang memperuntukkan denda maksimum RM10,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar dengan salah atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya serta bagi kesalahan kedua dan seterusnya, boleh didenda maksimum RM20,000 bagi setiap barangan yang dipakaikan cap dagangan berdaftar dengan salah, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya.

Terdahulu, Tauhiduzzaman yang diwakili peguam Zulkifli Awang merayu hukuman berbentuk denda paling minimum dengan alasan tertuduh menanggung isteri, anak berusia setahun dan ibu bapanya.

“Tertuduh berasal daripada keluarga yang susah dan ini adalah kesalahan pertama tertuduh, mohon belas ihsan mahkamah memberi peluang kepada tertuduh kerana dia sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan sama,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Putrajaya, Tan Chiew King memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran mengambil kira kepentingan awam.

“Ini supaya dapat memberi pengajaran kepada tertuduh dan mereka di luar sana, yang menjual barangan menggunakan cap dagangan palsu,” katanya.

Sementara itu Pengarah Seksyen Siasatan, Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Shamsul Nizam Khalil dalam kenyataan medianya menegaskan pihaknya akan bertindak dengan cekap dan pantas serta tidak akan berkompromi dalam menguatkuasakan undang-undang untuk melindungi hak pengguna dan juga hak harta intelek industri.

Katanya peniaga yang didapati melakukan kesalahan akan ditangkap dan didakwa di mahkamah.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel