Perhimpunan agung Bersatu 25 Jun

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengadakan mesyuarat dan Perhimpunan Agung pertamanya selama empat hari bermula 25 Jun ini.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata di peringkat cawangan, pencalonan akan bermula pada 26 Jan, disusuli mesyuarat yang bermula 15 Feb hingga 29 Mac manakala mesyuarat di peringkat bahagian pada 18 April.

“Jumlah bahagian yang layak bersidang adalah 189 manakala jumlah ahli yang layak mengambil bahagian dalam persidangan adalah 363,167 (ahli),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini. 

Menurut Dr Mahathir, jumlah ahli parti yang layak mengambil bahagian dalam persidangan parti berkenaan diperoleh selepas parti itu menjalankan proses pemutihan ahli.

 Mengenai tempoh penggantungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Adhif Shan Abdullah sebagai Ketua ARMADA Selangor dan beberapa ahli Bersatu lain yang masih dalam siasatan polis berhubung kes dadah, Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri berkata ia akan ditentukan kemudian. 
"Setakat ini parti belum ada keputusan dan kita kena tunggu siasatan kes ini dijalankan terlebih dahulu," katanya.

Semalam, Adhif Shan digantung serta-merta daripada jawatannya sebagai Ketua ARMADA Selangor dan tindakan sama turut diambil ke atas Penolong Setiausaha sayap parti itu, Ahmad Redzuan Mohamad Shafi.

Media baru-baru ini melaporkan, Adhif Shan ditahan bersama 16 yang lain dalam serbuan polis di sebuah unit kondominium di Jalan Puchong, dengan hasil saringan awal mendapati 16 daripada mereka dikesan positif dadah.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel