Polis dilanggar polis di Kampar



KAMPAR, 14 Jan (Bernama) --  Seorang anggota polis trafik cedera selepas dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta polis pengiring Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah di Kilometer 20 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Kampar Supt Hasron Nazri Hashim berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11 pagi itu, Koperal Mohd Rizal Abdul Rahim dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar cedera pada kaki kiri.

Katanya, kejadian berlaku apabila Mohd Rizal yang menunggang motosikal polis jenis Honda CBX dan dua anggota daripada Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Ipoh yang menaiki Proton Inspira sedang mengiringi Raja Nazhatul Shima dari Ipoh ke Makam Raja Bendahara Alang Iskandar (Makam Almarhum Teja) dekat sini.

"Apabila sampai di lampu isyarat Lawan Kuda, Mohd Rizal telah berhenti dan menahan kenderaan yang datang dari arah Kampar bagi memberi laluan kepada konvoi Raja Puan Besar Perak.

"Tiba-tiba datang Proton Inspira dipandu oleh L/Kpl Mohd Firdaus Ramli bersama L/Kpl V.S Devan Raj membelok dan terus melanggar bahagian belakang sebelah kanan motosikal sehingga terjatuh," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Hasron berkata akibat daripada itu, Mohd Rizal yang cedera telah dihantar ke Hospital Kampar, manakala dua anggota yang menaiki Proton Inspira tidak mengalami sebarang kecederaan.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel