Polis Marin rampas rokok RM518,000

KUCHING, 21 Jan: Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak berjaya merampas sebanyak 61 kotak berisi 610,000 batang rokok seludup dan satu kereta Proton Arena yang keseluruhannya bernilai RM518,000 di Kota Sentosa, di sini, semalam.

Komander Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, ACP Shamsol Kassim berkata hasil maklumat risikan seramai lapan anggota pasukan itu termasuk dua pegawai telah menahan sebuah kereta Proton Arena dipandu seorang lelaki berdekatan sebuah rumah tidak bernombor di Kota Sentosa, Batu 7, lebih kurang jam 4.50 petang semalam.

"Setelah pemeriksaan kenderaan tersebut dijalankan, pihak kami telah menemui sebanyak lima kotak berwarna coklat di belakang kenderaan yang dipercayai berisi barangan tanpa cukai iaitu rokok. "katanya pada sidang media di Ibupejabat Pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak, di sini, hari ini.

Katanya pemandu kereta terbabit seorang lelaki tempatan berusia sekitar 37 tahun gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan lima kotak berisi rokok pelbagai jenis dalam kenderaan dipandunya itu dan telah ditahan serta lima kotak terbabit dirampas.

Pemeriksaan lanjut juga telah dijalankan pasukan terbabit keatas satu rumah tidak bernombor di Kota Sentosa dan menemui sebanyak 56 kotak yang dipercayai berisi rokok seludup dan telah merampasnya.

"Kes ini disiasat dibawah Akta Kastam 1967 dan kes diserahkan kepada pegawai penyiasat jenayah Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Kota Sentosa untuk tindakan lanjut. Dipercayai rokok ini dibawa masuk ke negeri ini melalui perairan,"katanya.

Lima kotak yang dirampas pasukan itu dibelakang satu kereta Proton Arena terbabit mengandungi sebanyak 50,000 batang rokok seludup yang dianggarkan bernilai RM40,000 termasuk cukai.

Manakala 56 kotak yang dirampas pasukan itu di satu rumah tidak bernombor mengandungi sebanyak 560,000 batang rokok seludup dianggarkan bernilai RM448,000 termasuk cukai.

Disamping itu, Shamsol juga mendedahkan sehingga 21 Januari tahun ini, pasukan terbabit telah mencatatkan sebanyak 20 kes dalam pelbagai akta.

"Kes dibawah Akta Kastam 1967 sahaja sebanyak 14 kes (tahun ini) dengan nilai rampasannya sebanyak RM1,708,031."katanya.

Katanya ini menunjukkan peningkatan melebihi RM1 juta jika dibandingkan dengan jumlah rampasan pasukan terbabit sepanjang Januari 2019 yang mencecah RM155, 266 sahaja. 
tamat

keterangan gambar

1.ACP Shamsol Kassim (kanan) menunjukkan kotak rokok dan rokok serta kereta Proton Arena yang dirampas pasukan Polis Marin Wilayah Lima Sarawak di Kota Sentosa selepas mengadakan sidang media di ibupejabat pasukan itu, di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel