Rabies tersebar di musim mengawan
KUCHING, 26 Jan: Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SSPCA) Sarawak bercadang memulakan klinik pemandulan berkos rendah bagi membantu orang ramai di negeri ini memandulkan kucing dan anjing peliharaan mereka tahun ini.
Presiden SSPCA Sarawak, Datin Donna Drury-Wee berkata ini terutamanya pembela kucing dan anjing yang kurang berkemampuan membawa haiwan peliharaan mereka itu ke klinik haiwan swasta bagi dimandulkan.
"Ini sudah mendapat kelulusan secara prinsipnya dari ( Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kewangan II), Datuk Amar Douglas Uggah dan (Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan) Datuk Sri Dr Sim Kui Hian dan akan disokong kedua kementerian mereka," katanya ketika menerima kunjungan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ke rumahnya sempena perayaan Tahun Baharu Cina di Jalan Taman Liong Seng di sini, hari ini.
Donna berkata hanya dengan mandulkan haiwan terbabit baharulah populasi anjing dan kucing liar di jalanan dapat dikurangkan serta ini seterusnya juga membantu mengawal penyebaran penyakit bahaya terutamanya rabies.
"Rabies juga menyerang setiap kali musim mengawan, kerana ketika itulah haiwan terbabit keluar dan berkelahi berebutkan pasangan dan juga menyebarkan penyakit terbabit,"katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai di negeri ini untuk menghantar haiwan peliharaan mereka itu ke klinik itu yang akan dikendalikan sukarelawan veterinar dengan mereka juga akan dihantar dan membuka klinik terbabit di pekan kecil negeri ini.
"Ini kerana ketika operasi vaksinasi rabies (di negeri ini sebelum ini ), Jabatan Veterinar memberitahu kami yang ada banyak rumah panjang (di luar bandar) telah meminta perkhidmatan memandulkan haiwan peliharaan itu,"katanya.
Donna berkata sehubungan itu pihaknya juga akan mendapatkan peruntukan dari Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) bagi dapat membuka sebanyak mungkin klinik pemandulan berkos rendah terbabit di seluruh Sarawak.
tamat
keterangan gambar:
1. Datin Donna Drury-Wee
2. Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg ( kanan) berkunjung ke rumah Datin Donna Drury-Wee ( kanan) dan Datuk Richard Wee (tiga dari kiri) di Jalan Taman Liong Seng, di sini, hari ini.
