Rumah diserbu, 1.172 juta batang rokok dirampas
SIBURAN: Sebuah rumah yang dijadikan stor simpanan 1.172 juta batang rokok tidak lulus Kastam diserbu pada Jumaat lalu.
Pengarah Kastam Sarawak, Datuk Sharifah Halimah Tuanku Taha berkata, hasil rampasan dalam serbuan tersebut bernilai RM261,560 manakala jumlah amaun duti Kastam terlibat mencecah RM799,887.60.
Rumah di taman perumahan Siburan tersebut sudah lama diintip sebelum Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak menyerbu.
"Risikan awal di lokasi mendapati pemilik premis gagal dikesan menyebabkan Kastam bertindak membuka pintu rumah terbabit secara paksa," katanya dalam kenyataan.
"Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan jika sabit kesalahan suspek boleh didenda RM500,000 mengikut yang lebih besar atau penjara tidak melebihi lima tahun.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah penyeludupan memberi kerjasama untuk menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
Masyarakat boleh menyalurkan maklumat melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855, laman sesawang aduan awam iaitu http://aduan.customs.gov.my atau melaporkan di pejabat Kastam berhampiran.