Sarawak bayar RM650 juta tahun 2020 untuk baiki sekolah daif, Abang Jo

KOTA SAMARAHAN, 13 Jan: Kerajaan Sarawak akan membayar sebanyak RM650 juta kepada kerajaan pusat tahun ini bagi terus menaiktaraf lebih banyak sekolah yang daif di luar bandar negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata demikian berikutan kerajaan Sarawak sudah membayar sebanyak RM350 juta kepada kerajaan pusat bagi tujuan itu tahun lepas. 
"Tahun ini kita bayar RM650 juta, kita mahu sekolah (daif) di kampung, dekat rumah panjang dinaiktaraf. Ada juga pandai claim, kononnya hadiah dari mereka...jauh Pak Awi. Kalau kita tidak bayar dahulu maka tiada dana itu,"katanya ketika merasmikan Program Sarawakku Sayang, Jaga Sarawak. Intu Sarawak di dataran terbuka bersebelahan Dewan Suarah Samarahan, di sini, hari ini.
Abang Johari berkata pembayaran RM650 juta tahun ini dan RM350 juta tahun lepas adalah berikutan sebelum ini kerajaan Sarawak bersetuju membayar pendahuluan keseluruhannya sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan pusat bagi membaiki sekolah terbabit.
"Kerajaan pusat kata tidak mempunyai cukup duit, jadi kita rasa kalau sekolah penting, kita bayar dahulu RM1 bilion dengan kerajaan pusat dengan syarat sekolah daif mesti dibangunkan,"katanya.
Selain itu, Abang Johari mengumumkan kerajaan Sarawak akan menanggung kos pemasangan sambungan elektrik dari talian grid utama ke setiap rumah baharu di skim penempatan semula, rumah mampu milik atau rumah panjang di negeri ini yang menelan kos RM5,000.
"Kalau harga sambungan (elektrik terbabit) sebanyak RM5,000 jangan bayar, itu kita tanggung, GPS (Gabungan Parti Sarawak) tanggung, free,"katanya sambil menambah sekiranya kos terbabit mencecah RM10,000 pula maka sebanyak 70 peratus akan ditanggung kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan ini kerana bekalan elektrik di Sarawak ketika ini sudah sepenuhnya dibawah bidang kuasa kerajaan negeri selepas mengambil alih pemilikan empangan Bakun dari kerajaan pusat pada 2017.
tamat


LihatTutupKomentar
Cancel