Semua pihak perlu pastikan Pan Borneo siap - DAP Sarawak

SIBU: Pembinaan projek Lebuhraya Pan Borneo dijangka lancar dengan penyerahan projek itu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak oleh Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU) bulan depan.

Ini berikutan penamatan peranan LBU sebagai rakan kongsi projek (PDP) bagi projek itu pada 20 Sept tahun lepas.

Timbalan Pengerusi DAP Sarawak David Wong Kee Woan berkata akan ada mekanisme pengurusan projek yang lebih baik kerana kesemua kontraktor yang melaksanakan pakej kerja akan bertanggungjawab kepada kerajaan negeri dan persekutuan menerusi JKR negeri.

Semua pihak, katanya, termasuk agensi kerajaan negeri atau persekutuan, wakil rakyat daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) atau Pakatan Harapan (PH), mesti bekerjasama untuk memastikan projek Lebuhraya Pan Borneo siap mengikut jadual.

"Politik perlu diketepikan, daripada menolak tanggungjawab kepada satu sama lain, kita semua sama ada daripada GPS atau PH, mesti menjalankan peranan masing-masing untuk memastikan Pan Borneo akan terus menjadi jalan raya yang lebih baik dan siap pada waktunya," katanya kepada pemberita di Pusat Bantuan N51 DAP di sini, hari ini.

Beliau juga mengingatkan wakil-wakil GPS untuk menyuarakan isu yang berkaitan dengan projek itu di kawasan masing-masing.

"Walaupun ini adalah projek kerajaan Persekutuan, anda mempunyai hak sebagai wakil rakyat untuk menyuarakan isu-isu Pan Borneo," katanya.

Dalam perkembangan lain, Wong yang bercakap bagi mewakili Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata kementerian akan menganjurkan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina di Kingwood Hotel dari 9 pagi hingga 12 malam pada 2 Feb.

Chong yang merupakan pengerusi DAP negeri akan menjadi tetamu kehormat pada majlis itu.

Orang ramai diundang menghadiri rumah terbuka itu yang akan dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh komuniti Cina, Iban dan Melayu.
-- BERNAMA 

LihatTutupKomentar
Cancel