Senarai influenza A dalam cuti kuarantin
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan mempertimbangkan agar penyakit Influenza A dimasukkan dalam senarai enam jenis penyakit berjangkit yang diberi kemudahan cuti kuarantin.
Presidennya Adnan Mat berkata dengan memasukan Influenza A ke dalam senarai penyakit yang diberikan cuti kuarantin, ia akan memudahkan pegawai terlibat untuk bercuti.
“Merujuk kepada Surat Pekeliling Perhidmatan Bilangan 11 Tahun 2016 mengenai kemudahan cuti kuarantin, enam penyakit berjangkit sedia ada ialah penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD); demam denggi dan demam denggi berdarah; campak; cacar air; difteria dan malaria,” katanya kenyataan hari ini.
Pekeliling sama turut menyatakan kemudahan cuti kuarantin itu bagi pegawai yang dalam perjalanan balik ke Malaysia dari luar negara yang ditahan di mana-mana stesen kuarantin oleh pihak berkuasa kesihatan pelabuhan atau lapangan terbang kerana berlaku wabak penyakit berjangkit atau pegawai dikurung di rumahnya oleh mana-mana pihak berkuasa kesihatan kerana wabak penyakit berjangkit.
Influenza merupakan jangkitan virus dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.
Wabak yang disebabkan virus influenza bermusim itu hanya menyebabkan demam selesema ringan kepada orang biasa tetapi boleh mengakibatkan jangkitan yang teruk terhadap kumpulan berisiko tinggi seperti kanak-kanak, warga tua, wanita mengandung dan mereka yang mempunyai penyakit kronik.
-- BERNAMA
