Tiada laporan kes viral lelaki mati di Batu Kawa - Aidil
PADAWAN:Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan belum lagi menerima laporan berhubung viral sebuah video seorang lelaki mati di tembak di kedai makan yang dimuat turun di media sosial.
Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Aidil Bolhassan berkata, setakat ini tidak ada siasatan dijalankan berhubung kes itu.
"Kita tiada menerima laporan mengenai kes ini, jadi tiada siasatan dijalankan," katanya di sini hari ini.
Video yang muat turun pengguna media sosial, Lim Edy itu tular dan dilaporkan berlaku di Ecuador, bukannya di Batu Kawa.
Sehubungan itu, Aidil menasihatkan masyarakat supaya berhati-hati menyebarkan berita yang belum sahih di media sosial.
"Buatlah semakan pengesahan kepada pihak polis bagi memastikan kesahihannya," ujarnya.
Tegasnya, penularan maklumat salah akan mendatangkan kegusaran dalam kalangan ahli masyarakat yang lain.