Tokan dadah, 13 penagih dicekup

JEMPOL: Polis menahan seorang individu disyaki tokan dadah dan 13 penagih dadah dalam OP Ice Breaker yang dijalankan di kebun kelapa sawit Felda Palong 6, Gemas di sini, pagi semalam. 

Pemangku Ketua Polis Daerah Jempol DSP Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata dalam serbuan itu pihaknya merampas dadah jenis heroin dan syabu bernilai RM755. 

“Kira-kira pukul 10.30 pagi semalam, seorang pengadu bersama sepasukan anggota bahagian narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol telah membuat intipan di lokasi yang dikenali sebagai ‘Pot Mata Kucing Dalam’ di kebun kelapa sawit berkenaan. 

Ketika itu seorang suspek lelaki berusia 38 tahun yang juga disyaki tokan dadah sedang duduk di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan. Hasil pemeriksaan dalam bakul motosikal suspek dijumpai satu beg sandang mengandungi satu bekas plastik yang disyaki heroin berisi seberat 16.24 gram," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Tambahnya, kira-kira pukul 11.30 pagi hari yang sama, seorang lelaki berusia 26 tahun ditahan ketika menunggang masuk ke port sama dan hasil pemeriksaan menjumpai satu kotak rokok berisi heroin seberat 0.30 gram dalam poket hadapan seluar suspek.

Kira-kira pukul 12 tengah hari pula sebuah motosikal ditunggang seorang lelaki berusia 31 tahun turut dilihat memasuki port sama dan hasil pemeriksaan beg sandang suspek dan menjumpai heroin seberat 1.55 gram dan dadah syabu dengan anggaran berat 0.20 gram, katanya. 

Seterusnya kira-kira pukul 12.30 tengah hari hingga 4.00 petang, serbuan telah dijalankan di kebun kelapa sawit berkenaan dan menahan 11 lelaki berusia antara 35 sehingga 68 tahun yang disyaki penagih dadah. Kesemua suspek mempunyai rekod narkotik dan ujian saringan mendapati kesemua suspek positif MOP, katanya. 

Kesemua suspek kini ditahan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya.

-- BERNAMA
LihatTutupKomentar
Cancel