Veteran askar tidak pencen minta sara hidup bulanan

KANGAR: Persatuan Veteran Angkatan Tentera Tidak Berpencen Malaysia (PVATTBM) menyarankan kerajaan memanjangkan pemberian bantuan sara hidup bulanan kepada ahli-ahlinya sejajar dengan pengorbanan mereka mempertahankan negara.

Presidennya, Datuk Ismail Abidin berkata perkara itu perlu diberi perhatian memandang sebahagian besar ahli PVATTBM berumur lebih 60 tahun dan setengahnya uzur.

Katanya perkara itu telah dijadikan usul dalam Persidangan Perwakilan kali ketiga PVATTBM di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk dipanjangkan kepada pihak kerajaan.

“Kalau kerajaan boleh beri bantuan sara hidup bulanan kepada nelayan, adalah wajar juga bantuan serupa diberi kepada veteran tentera tidak berpencen yang banyak berkorban mempertahankan negara semasa berada dalam perkhidmatan dahulu.

"Memandangkan kos sara hidup yang tinggi sekarang, saya amat berharap agar kerajaan dapat menimbang usul ini untuk meringankan beban hidup ahli PVATTBM termasuk belanja perubatan bagi mereka yang uzur," katanya kepada Bernama di sini hari ini. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel