Vietnam sasar eksport ikan US$9 bilion 2020
HANOI, 20 Jan (Bernama) -- Vietnam telah menyasarkan untuk menjana sebanyak US$9 bilion daripada eksport perikanan pada 2020, yang menyaksikan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 7 peratus.
VNA, yang memetik kenyataan Direktorat Perikanan, melaporkan bahawa nilai eksport produk akuatik Vietnam mencecah US$8.6 bilion tahun lepas pada 2019, merosot sebanyak 2.3 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, nilai eksport makanan laut Vietnam mencecah US$3.2 bilion tahun lepas, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 8 peratus berbanding tahun sebelumnya, adalah kadar tertinggi pernah dicatat, menurut Persatuan Pengeksport dan Pengeluar Makanan Laut Vietnam.
Tuna menyumbang sebanyak US$728 juta kepada jumlah eksport, yang menyaksikan peningkatan tahun ke tahun sebanyak 12 peratus, manakala eksport ikan air masin lain mencecah US$1.65 bilion, yang mewakili 19.4 peratus daripada jumlah keseluruhan dan peningkatan sebanyak 15.8 peratus tahun ke tahun.
Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN kekal sebagai pembeli terbesar tuna Vietnam, dengan mengimport sebanyak 71 peratus daripada jumlah tahun lepas berbanding 67 peratus pada 2018. AS menguasai pasaran dengan 46 peratus.
Eksport produk makanan laut dan perikanan ke EU menjunam sebanyak 11.5 peratus pada 2019 dengan tuna dan sotong kurita mengalami pengecutan terbesar masing-masing iaitu sebanyak 11 peratus dan 20 peratus.
Susulan itu, EU yang sebelum ini adalah pengimport kedua terbesar produk akuatik Vietnam, jatuh ke tangga kelimadi belakang AS, Jepun, Korea Selatan dan China.
-- BERNAMA
Gambar hiasan peniaga ikan di Vietnam