Warga Indonesia mengaku bersalah miliki gading gajah Borneo

SANDAKAN: Seorang pekerja ladang sawit warga Indonesia mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana memiliki dua batang gading gajah Borneo tanpa permit di Beluran pada Oktober lepas.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Sesyen Indra Ayub tidak berpuas hati dengan tahap pemahaman Bahasa Melayu tertuduh Supriadi Juman, 49 dan menetapkan 25 Feb depan untuk sebutan semula kes sementara seorang jurubahasa yang fasih bahasa Bugis dilantik.

"Saya faham Bahasa Melayu 'sikit-sikit'. Saya tidak bersekolah tinggi," kata tertuduh itu ketika menjawab pertanyaan hakim jika dia memahami hukuman yang diperuntukkan terhadapnya kerana mengaku bersalah.

Supriadi didakwa melakukan kesalahan itu di Blok 97S Ladang Bimbangan 2, Industrial Oxygen Incorporated Sdn Bhd, Beluran kira-kira 1 tengah hari pada 23 Okt 2019.

Kesalahan di bawah Seksyen 41 (1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 itu membawa hukuman denda tidak kurang RM50,000 dan tidak lebih RM250,000 serta penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Mark Kenneth Netto menjalankan pendakwaan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. - Bernama
LihatTutupKomentar
Cancel