12 makmal hospital dilatih
KUALA LUMPUR: Pada peringkat awal keupayaan makmal bagi menjalankan ujian pengesanan dan pengesahan 2019-nCov hanya terhad kepada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia, kini sebanyak 12 makmal hospital dan 4 Makmal Kesihatan Awam dari seluruh negara telah dilatih oleh pihak IMR baru-baru ini dengan mengguna pakai protokol yang digariskan oleh pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Kapasiti ini akan diperluaskan lagi bagi rangkaian makmal swasta yang akan turut sama terlibat dan latihan berkaitan akan diadakan oleh pihak MKAK Sungai Buloh pada 6 Februari 2020.
Sebelum ini, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Sarawak memutuskan untuk membeli kit ujian darah bagi memudahkan wabak dikesan pada kadar yang lebih awal.
Katanya, kit tersebut memudahkan kerja pemeriksaan awal dilakukan terhadap pesakit di Sarawak untuk mendapatkan keputusan lebih pantas.
Kini, sampel darah pesakit di Sarawak dihantar ke Semenanjung untuk ujian.