587 koperasi seluruh Sarawak miliki aset RM120 juta


KUCHING, 6 Feb: Sarawak memiliki keseluruhannya sebanyak 587 koperasi pengguna dengan ahli keseluruhannya seramai 204, 794 orang serta aset keseluruhannya melebihi RM120 juta sehingga 31 Disember 2018.

Ini berdasarkan rekod Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Sarawak dengan 587 koperasi pengguna terbabit mencatatkan keseluruhan perolehan tahunan melebihi RM94.8 juta dan keseluruhan untung tahunan melebihi RM14 juta sehingga tempoh terbabit. 

Koperasi pengguna terbabit terbahagi kepada 398 koperasi dewasa yang ada seramai 28,009 ahli dewasa dan sebanyak 189 koperasi sekolah yang ada seramai 176, 785 ahli pelajar sekolah.

Selain itu, Sarawak juga ada keseluruhannya sebanyak 15 koperasi belia dengan ahli keseluruhannya seramai 860 orang, aset melebihi RM1.3 juta, perolehan tahunan mencecah RM307,802 dan untung tahunan mencecah RM92,424 sehingga 31 Disember 2018.

Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh berkata pihaknya akan menumpukan kepada koperasi sekolah bagi mempergiatkan lagi pergerakkan koperasi di negara ini.

"Sekarang ini ada sembilan koperasi sekolah di negara ini mencatatkan perolehan tahunan melebihi RM1 juta yang melebihi perolehan kebanyakan koperasi dewasa,"katanya pada sidang media selepas merasmikan Penutupan Global Youth Forum 2020 (GYF20) di sini, petang tadi.

Katanya setakat ini juga ada sebanyak 38 koperasi sekolah di negara ini mencatatkan perolehan melebihi RM800,000 dan menjangkakan dalam tempoh setahun atau dua tahun lagi mereka juga akan mencatatkan perolehan tahunan melebihi RM1 juta.

"Daripada 38 koperasi sekolah terbabit, sebanyak tiga koperasi itu terletak di Sarawak,"katanya.

Nordin berkata ketika ini di seluruh negara ada keseluruhanya sebanyak 2,433 koperasi sekolah dengan ahli seramai 1.6 juta, aset sebanyak RM354 juta dan perolehan mencecah RM400 juta tahun lepas.

"Ini koperasi budak sekolah yang bawa duit syiling dalam poket, tetapi koperasi mereka di negara ini mampu mencatatkan perolehan tahunan mencecah RM400 juta tahun lepas,"katanya.

Beliau berkata ini membolehkan koperasi sekolah selama ini menjadi penaja utama kepada aktiviti pelajar ataupun aktiviti membantu pelajar miskin.

keterangan gambar:

1. Datuk Nordin Salleh (tiga dari kanan) mendengar ucapan wakil peserta Global Youth Forum 2020 (GYF20) di majlis penutupan acara terbabit di sini, petang tadi.

2. Datuk Nordin Salleh ( duduk tiga dari kiri) bersama peserta Global Youth Forum 2020 (GYF20) di majlis penutupan acara terbabit di sini, petang tadi.
LihatTutupKomentar
Cancel