900,000 hektar Tanah NCR digazetkan, Uggah
SELANGAU: Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) pada hari ini perlu bergerak aktif bagi memastikan amanah yang dipertanggungjawabkan dapat dilaksanakan dengan baik dan berkesan.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata untuk itu setiap ahli JKKK perlu memastikan penglibatan mereka dalam masyarakat dapat dipertingkatkan termasuklah melibatkan projek-projek di peringkat rumah panjang.
“JKKK harus berperanan aktif dalam melaksana tugas dan sentiasa menjalinkan kerjasama yang baik dengan pegawai-pegawai jabatan dan agensi kerajaan.
“Di samping itu juga, JKKK harus membuat perancangan dan perbincangan berkaitan dengan projek-projek yang bersesuaian untuk dilaksanakan bagi komuniti rumah panjang,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Perasmian Community Outreach Programme yang diadakan di Rumah Panjang Gansau, Sungai Arip, Selangau pada Sabtu.
Mengenai program ini Ianya telah diadakan pada 14 hingga 15 Februari dengan objektifnya adalah untuk memberi khidmat pengembangan dan pembangunan pertanian khususnya untuk masyarakat luar bandar.
Pelbagai aktiviti telah diadakan bermula seawal jam 8.00 pagi pada 14 Februari antaranya Program Ekonomi Rumah Tangga, Ceramah Teknologi Tanaman Halia Secara Fertigasi, dan Ceramah Agronomi Penanaman Rumbia, Nanas, dan Perternakan Kelulut.
Turut diadakan ceramah Amalan Pertanian Baik Perikanan, Teori Amali Cantuman dan Ceramah Etika Penggunaan Racun Serangga serta Hala Tuju Pemodenan Pertanian di Sarawak.
Dalam majlis itu, Datuk Amar Douglas Uggah telah mengumumkan geran sebanyak RM20,000 kepada JKKK dan RM3,000 kepada Biro Wanita Rh Gansau.
Datuk Amar Douglas yang juga Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak juga berkata rakyat di negeri ini harus mengambil peluang dengan memanfaatkan sektor pertanian sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Rakyat di Sarawak perlu memanfaatkan sumber tanah yang ada di negeri ini dengan menjalankan pertanian.
“Bagaimanapun, rakyat yang menceburi bidang pertanian perlu mempunyai ilmu untuk meningkatkan hasil terutama dalam penggunaan teknologi digital yang semakin meluas digunakan pada hari ini,” ujarnya.
Jelas beliau lagi, sejak tahun 2010 hingga 2018 sebanyak 900,000 hektar Tanah Adat Bumiputera (NCR) telah digazetkan dan pada tahun ini Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM40 juta.