Adakah Muhyiddin sokong Peguam Negara?


Oleh Wan Noor Hayati

Sejak semalam pelbagai gesaan dilakukan oleh semua lapisan masyarakat samada daripada blok kerajaan mahupun blok pembangkang yang mahu Yang DiPertuan  Agong (YDPA) memecat Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas atau menggantikan jawatan itu kepada yang lebih beramanah dalam memikul tanggungjawabnya sebagai penasihat undang-undang negara.

Ia berikutan tindakan Tommy menghentikan prosiding terhadap 12 individu termasuk dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP yang berdepan pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Tindakan itu disifatkan ramai pihak sebagai membelakangi semua pemegang taruh seperti YDPA, Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM), mahkamah dan rakyat yang memiliki hak untuk berasa selamat, kerana tiada sebarang rundingan konsensus sebelum keputusan besar itu dibuat.

Keputusan tersebut dibuat menggunakan budi bicara Peguam Negara sejajar dengan peruntukan Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan.

Tindakan serta-merta, yang kebetulannya pada hari mesyuarat peralihan kuasa Perdana Menteri dibuat Peguam Negara mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat dan pemimpin negara.

Menerusi keputusan Tommy, secara kefahaman awamnya memiliki bahan keganasan bukan kesalahan malah jika jenayah itu dilakukan beberapa tahun lalu ia bukan satu kesalahan yang boleh didakwa pada ketika ini.

Tambah pula ia diputuskan selepas empat bulan perbicaraan berlangsung dipertikaikan rakyat khususnya PDRM yang sebelum ini mendakwa ada bukti kukuh termasuk pemilihan bahan berbahaya dan transaksi sejumlah wang besar untuk menghidup kumpulan LTTE yang diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas di banyak negara luar termasuk Amerika.

Susulan tindakan itu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Mohd Yassin mengeluarkan kenyataan hari ini berkata, kumpulan militan, LTTE masih dikategorikan sebagai kumpulan pengganas dan kerajaan tidak berhasrat untuk mengugurkan kedudukan kumpulan itu.

Kata Muhyiddin, Peguam Negara Tommy Thomas tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dan bidang kuasa menteri dalam negeri, susulan tindakannya memberhentikan serta-merta pertuduhan terhadap 12 individu yang dikaitkan dengan kumpulan itu semalam.

Beliau turut menegaskan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa menteri dalam negeri yang diperuntukkan bawah undang-undang.

Katanya lagi, Peguam negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa menteri dalam negeri.

Bagaimanapun, secara tersiratnya ia kelihatan mengesahkan dan mengiyakan pembebasan tertuduh dari jenayah.

Ini kerana kenyataan beliau berhubung LTTE dikekalkan sebagai pertubuhan pengganas itu adalah cerita berbeza, isunya sekarang adakah tahanan LTTE perlu kekal ditahan dan meneruskan perbicaraan atau sebaliknya.

Jadi jika sudah mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas, maka 12 tahanan yang dibebaskan Peguam Negara itu mestilah ditahan semula dengan kuasa Menteri Dalam Negeri.

Hipotesis daripada kenyataan Menteri Dalam Negeri itu semakin menampakkan bayangan sokongan Menteri terhadap pemimpin parti yang berkiblat subversif itu.

Ini mengingatkan rakyat kepada pejuang komunis yang dikenali sebagai Mat Indera, terkenal di Johor.

Antara guru Mat Indera adalah Mohd Yassin, iaitu bapa Muhyiddin Yassin.

Berbalik kepada persoalan kedudukan Peguam Negara ketika ini, beliau dilantik dan ditauliahkan oleh YDPA,  jadi jika beliau menunjukkan tidak mampu menjalankan amanah, tugas dan tanggungjawab maka selayaknya maka YDPA boleh menarik balik perlantikan dan lantik orang lain.

YDPA kuasa paling eksekutif mengatasi Perlembagaan. Adakah tindakan Peguam Negara berkenaan adalah cubaan untuk menguji kuasa YDPA sebagai pemerintah dan ketua Raja-raja Melayu?

Perlembagaan dan Parlimen jelas menyatakan bahawa negara Malaysia ini adalah PEMERINTAHAN RAJA BERPERLEMBAGAAN.

Perlembagaan itu diterjemahkan ke dalam undang-undang, Raja itu diterjemahkan kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) YDPA dan Majlis Raja-raja.

Maka adalah dipohon ke bawah DYMM Raja-raja Melayu, Majlis Raja-raja dan khususnya kepada DYMM YDPA untuk mengambil tindakan sewajarnya BAGI MENUNJUKKAN bahawa Raja Berperlembagaan masih wujud di negara ini.

Pertanyaan pokok dikalangan rakyat jelata, kuasa apakah yang ada pada DYMM YDPA jika boleh melantik Peguam Negara tetapi tidak boleh membatalkan atau nenarik semula perlantikan itu?

Bagaimanapun yang ramai rakyat tidak tahu, lantikan dan pemecatan Peguam Negara adalah melalui nasihat Perdana Menteri kepada YDPA.

Apa yang paling mudah dan cepat boleh dilakukan oleh YDPA sekarang adalah memanggil Perdana Menteri dan minta nasihat Perdana Menteri mengenai pemecatan atau penggantian Peguam Negara.

Hipotesisnya, tindakan Peguam Negara membebaskan 12 tahanan LTTE setelah empat bulan ditahan tanpa reman untuk dibicarakan menunjukkan bahawa empat bulan sebelumnya Peguam Negara seolah TIDAK TAHU mengenai undang-undang.

Oleh kerana ramai yang mahir dalam perundangan di Pejabat Peguam Negara itu maka jelas hipotesis bahawa terdapatnya TANGAN GHAIB yang mengarahkan tindakan Peguam Negara tersebut.

Lagi persoalannya, siapakah tangan ghaib yang mengatasi Rule of Law?

Ini kerana wujud persoalan adakah tindakan Peguam Negara ini adalah antara tindakan terancang, tersusun dan bersistematik melalui politik untuk menghakis sehingga terhapusnya kuasa dan kedaulatan Raja-raja Melayu, agama Islam dan Melayu di Semenanjung Tanah Melayu (sebahagian dari Malaysia) ini?.


LihatTutupKomentar
Cancel