Agong titah Speaker masuk menghadap


KUALA LUMPUR - Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dititahkan untuk masuk menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk kali kedua hari ini.

Mohamad Ariff sudah masuk menghadap YDP Agong pagi ini tetapi dipanggil semula pada tengah hari, lapor Malay Mail. 

Terdahulu, Mohamad Arif hari ini dilaporkan BERNAMA memutuskan bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang dicadangkan pada 2 Mac tidak akan berlangsung. 

Menurut Mohamad Ariff, beliau telah menerima Surat Pemakluman Memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat yang ditandatangani Perdana Menteri Interim Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai cadangan mesyuarat itu. 

"Namun demikian saya mendapati surat berkenaan tidak menepati Peraturan Mesyuarat 11 (3) oleh kerana tidak disusuli dengan Pemberitahuan Usul yang lengkap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini. 

Beliau menjelaskan mengikut Peraturan Mesyuarat 11(3) , pemberitahuan dan tarikh mesyuarat akan dikeluarkan olehnya selaku Yang Dipertua Dewan Rakyat. 

"Setakat ini tiada notis dikeluarkan,” katanya. 

Mohamad Ariff berpendapat bahawa keperluan untuk mengadakan Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan dibuat selepas mendapat pemakluman titah rasmi daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riáyatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung dengan proses pemilihan perdana menteri. 

"Saya akan terus meneliti perkembangan semasa dan kenyataan seterusnya tentang notis dan tarikh mesyuarat khas akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir memberitahu sidang media bahawa Mesyuarat Khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac ini bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu. 

Perdana Menteri Interim itu berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. 

-- Bernama


Beliau ke Istana kira-kira jam 1.20 petang.

Dipercayai  mesyuarat kedua  berkaitan dengan cadangan Parlimen yang dicadangkan.
LihatTutupKomentar
Cancel